PARTI kaum India Barisan Nasional, MIC, terus rebah dengan hanya menang satu kerusi daripada 10 kerusi ditandingi mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 semalam.
Keputusan Padang Serai, kawasan ditandingi calon MIC, C Sivarraajh ditangguhkan selepas calon Pakatan Harapan M.Kurupaiya meninggal dunia kerana serangan jantung. Pengundian akan diadakan pada 7 Disember depan.
Bagaimanapun, MIC hanya mempunyai peluang tipis menang di kawasan itu.
Prestasi parti itu pada PRU15 lebih buruk berbanding prestasinya pada Pilihan Raya Umum ke-14 2018.
Pada PRU1, mereka menang dua kerusi Parlimen- Tapah dan Cameron Highlands- daripada sembilan kerusi ditandingi, sebelum Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan di Cameron kerana terbukti wujud unsur korupsi.
Pada pilihan raya kali ini, pemenang tunggal MIC adalah M Saravanan, yang mempertahankan kerusi Tapah dengan majoriti 5,046 mengalahkan calon PH, Saraswathy Kandasami.
Dalam pertandingan enam penjuru itu, Saravanan yang merupakan bekas menteri sumber manusia meraih 18,398 undi, Saraswathy (13,304), Muhammad Yadzan (Perikatan Nasional, 12,115), Mior Haidir (Pejuang, 335), Mohamed Akhbar Yasin (Warisan, 200) dan M Kathiravan (Bebas, 99).
Sementara itu di Sungai Siput, calon PH Kesavan Subramaniam mengalahkan Presiden MIC SA Vigneswaran dengan majoriti tipis 1,846 undi.
Pertandingan tujuh penjuru itu menyaksikan Kesavan meraih 21,637 berbanding Vigneswaran (19,791), Irudianathan Gabriel (PN, 8,190) and Ahmad Fauzi Mohd Jaafar (Pejuang, 784).
Tiga lagi calon Bebas, R. Indrani, Baharudin Kamarudin dan Rajah Narasaim masing-masing mendapat 614, 598 dan 35 undi.
MIC memasuki gelanggang PRU15 dengan harapan besar mahu menang di kerusi-kerusi tersebut.
Di Port Dickson, calon MIC P. Kamalanathan disingkir Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dengan majoriti besar 23,601 undi.
Aminuddin menerima 42,031 undi, Kamalanathan (18,412), Rafiei Mustapha (PN, 18,235), Ahmad Idham Ahmad Nadzri (Pejuang, 1,084) dan Abdul Rani Kulup Abdullah (Bebas, 441). – 20 November, 2022.
Komen