NOH Omar mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor susulan hilang kepercayaan kepada Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata kepada pemberita keputusan itu dibuat selepas digugurkan Ahmad Zahid daripada pencalonan di Tanjong Karang pada pilihan raya umum kali ini.
“Saya secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, bukan sahaja Presiden tak percaya pada saya tetapi saya pun sudah tidak percaya dengan kepimpinannya.
“Saya pun tadi (dalam mesyuarat) minta jika presiden berjiwa besar dia patut letak jawatan seperti mana (yang dilakukan oleh) Najib bila kalah (dalam PRU14) dia dipaksa meletak jawatan. Biarlah orang baharu yang menguruskan Umno,” katanya kepada wartawan sebelum ke mesyuarat MKT Umno petang ini.
Pada PRU15, BN tewas di Selangor dengan hilang semua kerusi yang ditandingi.
Meski pun mempertaruhkan calon berprofil tinggi – Tengku Zafrul Abdul Aziz di Kuala Selangor dan Khairy Jamaluddin di Sungai Buloh – namu akhirnya gabungan itu tewas semua kerusi.
Dalam pilihan raya semalam, Pakatan Harapan (PH) menang 76 kerusi, sementara rakan gabungannya DAP Sarawak menawan 5 kerusi dan Muda 1 kerusi dengan keseluruhan 82 kerusi.
Perikatan Nasional (PN) dan PAS menang 51 serta 22 kerusi dengan jumlah keseluruhan 73 kerusi.
BN menang 30 kerusi, Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1) dan Bebas (2). – 20 November, 2022.
Komen