Pakatan goyah di Sarawak, 2 parti Malaya mula cengkam kuasa


Desmond Davidson

Pakatan Harapan Sarawak hilang empat kerusi daripada 10 yang dimenanginya pada 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2022.

PRESTASI Pakatan Harapan Sarawak pada pilihan raya umum kali ini – seperti yang diramal- gagal mengatasi prestasinya pada pilihan raya 2018.

Selepas pengiraan undi berakhir awal pagi ini, ia hanya menang enam kerusi- lima daripada DAP dan satu dimenangi PKR.

Ia kekurangan empat kerusi berbanding 10 kerusi dimenanginya pada 2018 yang menyaksikan tumbangnya Barisan Nasional yang ketika itu dibayangi skandal kewangan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sepuluh kerusi itu adalah Bandar Kuching, Stampin, Mas Gading, Lanang, Sibu, Sarikei, yang dimenangi DAP; Puncak Borneo, Saratok, Selangau and Miri disumbang PKR.

Amanah, salah satu parti dalam PH Sarawak sekali lagi dimalukan selepas kalah teruk pada Pilihan Raya Negeri Sarawak pada Disember lepas.

Selepas PRU 2018, kedudukan PH Sarawak terus kukuh apabila dua calon Bebas yang menang Larry Sng (Julau) and Jugah Muyang (Lubok Antu) menyertai PKR.

Tetapi kemanisan kemenangan itu tidak berkekalan di peringkat negeri dan persekutuan.

Dalam tempoh hanya 22 bulan, semuanya hancur berkecai kerana ketamakan kuasa.

Sekelip mata sahaja PH hilang Puncak Borneo, Saratok dan Selangau apabila PKR memecat wakil kawasan itu kerana peranan mereka dalam Langkah Sheraton.

Pengkhianatan mereka bertiga dan sekutu lain di Semenanjung menyebabkan tumbangnya kerajaan persekutuan PH.

Memburukkan keadaan, Larry dan Jugah turut meninggalkan PKR tidak lama selepas itu.

Dalam pilihan raya semalam, penganalisis politik sudah meramalkan yang PH Sarawak tidak mampu menawan kembali tiga kerusi yang hilang itu, malah DAP juga berdepan cabaran hebat untuk mempertahankan kerusi bandar majoriti Cina mereka.

Mereka kalah di Sarikei, kerusi bandar di tengah Sarawak.

Ketika tuah politik PH terus merudum, dua parti politik Semenanjung buat pertama kali mula mengorak masuk ke Sarawak- Bersatu dari Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM)- berjaya meletakkan dirinya di negeri yang tidak pernah mesra parti Semenanjung itu.

Bekas orang kuat PKR, Ali Biju, berjaya mengekalkan kerusi Saratok dengan mengalahkan cabaran Giendam Jontahan Tait dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Ibil Jaya (PH) dalam pertandingan tiga penjuru.

Ali, timbalan menteri dalam kerajaan sementara, meraih 19,223 undi berbanding Giendam (10,397) untuk menang dengan majoriti besar 8,826 undi.

Ibil pula hanya mendapat 1,221 undi dan hilang wang deposit.

Keputusan PN untuk meletakkan empat calon di Sarawak sehingga mencetuskan kemarahan Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS Abang Johari Openg juga gagal apabila penyandang kerusi Lubuk Antu Jugah Muyang tersingkir dalam persaingan sengit, Duke Janteng tersungkur di Bintulu dan satu-satunya calon PAS Hamdan Sani kalah teruk di Batang Lupar.

Duke diberi tugas berat berdepan wakil rakyat lima penggal Tiong King Sing daripada Parti Demokratik Progresif (PDP) yang bertanding di bawah bendera GPS.

Malangnya, Duke bukan lawan Tiong.

Pencabar utama Tiong yang juga presiden PDP itu adalah calon DAP Chiew Chan Yew.

Walaupun begitu, jika digabungkan undi diterima Chiew (21,287) dan Duke (5,650), ia masih tidak mampu mencetuskan gentar kepada Tiong yang meraih 43,455 undi untuk menang dengan 22,168 undi majoriti.

Parti Islam PAS yang meletakkan seorang calon juga gagal memberikan sebarang kesan dan meneruskan trend kalah semua sejak ia mula memasuki Sarawak.

Hamdan Sani yang bertanding di Batang Lupar di bawah bendera PN kali ini meraih 5,164 undi, sedikitpun tidak mengugah muka baharu GPS, Mohamad Shafizan.

Mohamad yang menggantikan Rohani Abdul Karim yang bersara selepas empat penggal sejak 2004, meraih 19,627 kerusi, dengan mudah menewaskan Hamdan dan Maxwell Rojis (PH).

Maxwell menerima 2,768 undi dan hilang wang deposit. – 20 November, 2022.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen