Tiada gabungan mampu bentuk kerajaan secara sendiri


K. Kabilan

Setakat ini, PH memenangi 59 kerusi, diikuti PN dengan 57. Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 25 kerusi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 20 November, 2022.

TIDAK ada gabungan politik dapat membentuk kerajaan secara sendiri berdasarkan keputusan 173 kerusi diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat 2.15 pagi ini.

Ketika Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sama-sama bersaing mendahului jumlah kerusi, Malaysia nampaknya akan menyaksikan parlimen yang tergantung.

Setakat ini, PH memenangi 59 kerusi, diikuti PN dengan 57. Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 25 kerusi.

Gabungan Parti Sabah (GPS) pula memperoleh empat kerusi sementara parti-parti lain dengan enam kerusi.

Sebanyak 47 kerusi masih belum diumumkan. Walaupun jika PH menang kesemuanya, jumlah terbanyak yang akan diperolehinya ialah 106, kurang enam kerusi yang diperlukan untuk membentuk majoriti.

Keputusan 220 kerusi masih dipertimbangkan memandangkan pengundian di Padang Serai telah ditangguhkan kepada 7 Disember berikutan kematian calonnya selain di pengundian di Baram, Sarawak terpaksa ditangguhkan akibat cuaca buruk.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi dalam pada itu mengakui kekalahan gabungan itu pada PRU15, namun berkata ia bersedia mengetepikan perbezaan sentimen sebelum ini agar kerajaan stabil dapat dibentuk.

Kenyataan Ahmad Zahid itu menunjukkan ia bersedia bekerjasama dengan gabungan lain untuk bentuk kerajaan.

“Kami bersedia menjadi jambatan mengukuhkan hubungan ini,” katanya.

Zahid juga berkata BN menerima isyarat jelas rakyat kepada gabungannya.

Menjelang pilihan raya pada Sabtu, tinjauan pendapat meramalkan bahawa PH pimpinan Anwar Ibrahim akan menang tetapi tanpa dapat membentuk kerajaan sendiri.

Mereka juga meramalkan PN akan menunjukkan prestasi yang lebih baik berbanding BN, namun keputusan setakat ini menunjukkan pakatan pimpinan Muhyiddin Yassin iaitu Bersatu, PAS dan Gerakan telah berjaya meyakinkan pengundi, terutama di kawasan tengah Malaysia, untuk menyokong mereka.

Tanpa sebarang gabungan yang mempunyai jumlah mantap, gabungan dari negeri-negeri Borneo kini bersedia untuk menjadi penentu. – 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen