GPS menang 21 kerusi


Desmond Davidson

PRESIDEN Parti Rakyat Sarawak (PRS) Joseph Salang Gandum menjadi pemimpin tertinggi daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tewas sekali lagi di kerusi Parlimen Julau kepada Larry Sng, yang bertanding di bawah panji Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Salang, yang kehilangan kerusi majoriti Dayak itu dengan 34,850 pada pilihan raya lalu, kali ini hanya memperoleh 7,819 undi berbanding Larry dengan 9,159.

Beliau telah memegang kerusi itu selama empat penggal antara 1999 dan 2018.

Dalam pertarungan empat penjuru itu, calon Bebas Elly Lawai Ngalai memperoleh 5,224 undi manakala Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Susan George hilang deposit apabila cuma mendapat 335 undi.

Larry bertanding di kerusi itu sebagai calon Bebas pada PRU14 dan, menyingkirkan Salang dengan majoriti 1,931 undi.

Dalam pada itu Pengerusi GPS Abang Johari Openg berkata beliau berpuas hati dengan prestasi gabungannya yang lebih baik berbanding pada PRU14.

Setakat ini, GPS berjaya merangkul 21 kerusi Parlimen, yang mana pada PRU 2018 gabungan itu cuma memenangi 19 kerusi.

“Hari ni sah 21 (kerusi) dan kalau dikira, akan dapat dua lagi jadi penambahan 23 (kerusi). Ini jumlah yang memuaskan,” katanya pada sidang akhbar di Kuching, seperti dipetik Bernama, malam ini.

Tambahan dua kerusi yang dirujuk Premier Sarawak itu ialah Limbang dan Baram.

Sementara itu, muka baharu dalam PRS, Roy Gingkoi, lebih bernasib baik di satu lagi kerusi majoriti Dayak iaitu Lubok Antu apabila menewaskan penyandang Jugah Muyang yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) selain Adun Parti Sarawak Bersatu (PSB) Engkilili Johnichal Rayong Ngipa.

Gingkoi, bertanding di bawah tiket GPS, memperoleh 6,644 undi berbanding 6,544 oleh Rayong untuk menang dengan hanya 100 undi.

Penyandang Lubok Antu, Jugah memperoleh 5,360 undi.

Calon keempat, Langga Lias dari PH hilang wang deposit apabila cuma mendapat 746 undi.

Ketua Wanita PRS Doris Sophia Brodi berjaya merampas kembali kerusi majoriti Dayak iaitu Sri Aman dalam pertarungan empat penjuru.

Brodi memperoleh 14,131 undi manakala pencabar terdekatnya, ahli perniagaan Wilson Entabang dari PSB memperoleh 10,092 undi untuk menang dengan 4,039 undi.

Masir Kujat, yang menyandang kerusi itu selama tiga penggal – pada PRU 2008, 2013 dan 2018 atas tiket GPS-PRS - cuma memperoleh 5,673 undi kali ini sebagai calon bebas.

Kujat juga pernah bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak Disember lalu, atas tiket PSB, di kerusi Balai Ringin tetapi tewas dengan 1,285 undi kepada ketua Pemuda GPS-PRS Snowdan Lawan.

Menjelang tengah malam, papan pemuka SPR secara rasmi mengisytiharkan GPS menang 20 kerusi dengan PH memperoleh empat kerusi manakala PN dan PBM masing-masing satu kerusi.

20 kerusi tersebut ialah:

1. Santubong di mana Nancy Shukri mengalahkan Mohamad Zen Peli dari PH dan Affendi Jeman (Bebas) dengan majoriti 38,681 undi;
2. Petrajaya (Fadillah Yusof);
3. Kota Samarahan (Rubiah Wang);
4. Puncak Borneo (Willie Mongin);
5. Serian (Richard Riot)
6. Batang Sadong (Rodiyah Sapiee);
7. Batang Lupar;
8. Sri Aman;
9. Lubok Antu;
10. Betong;
11. Tg Manis;
12. Igan;
13. Sarikei;
14. Kanowit;
15. Mukah;
16. Selangau;
17. Kapit;
18. Hulu Rajang;
19. Sibuti;
20. Lawas

Lima kerusi yang tidak diumumkan ialah Sibu, Bintulu, Limbang dan Baram di mana pengundian di 11 stesen digantung apabila petugas pilihan raya dan peti undi tidak dapat dibawa masuk melalui udara, darat atau sungai kerana cuaca buruk dan banjir di Baram. – 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen