PERIKATAN Nasional (PN) menyapu bersih semua lapan kerusi Parlimen di Terengganu dengan merampas Kemaman dan Besut serta mengekalkan Kuala Nerus dan Hulu Terengganu, menurut keputusan tidak rasminya.
Ia mengumumkan menang Kemaman dengan mengalahkan penyandang ketua Umno Terengganu Ahmad Said yang juga bekas menteri besar dengan perbezaan lebih 21,000 undi.
PN juga mengumumkan mendahului di Kuala Nerus melalui calonnya Alias Razak mengatasi penyandang, Khairuddin Aman Razali yang pada ketika ini meraih lebih 18,000 undi.
Khairuddin keluar PAS dan menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam PRU15.
Parti itu juga mengumumkan berjaya mengekalkan kerusi Hulu Terengganu melalui penyandang Rosol Wahid yang menjadi calon parti itu selepas lompat parti dari BN.
Selain itu, PN juga berjaya merampas kubu kuat Umno di Besut di mana calonnya Che Mohamad Zulkifly Jusoh mendahului dengan perbezaan lebih 10,800 undi.
PN juga mengesahkan kemenangan di kerusi Marang di mana presiden PAS Abdul Hadi Awang merekodkan jumlah undi lebih 59,000, paling tinggi antara lapan kerusi Parlimen di negeri itu.
PN turut mendahului di tiga kerusi lain – Kuala Terengganu, Dungun dan Setiu.
Parti itu juga mengumumkan menang Kelantan dan Kedah, dua lagi negeri yang sedia dikawal parti tersebut dalam gabungan berkenaan, PAS dalam PRU14.
Pengumuman dijalankan di satu markaz PAS di Rusila, Marang.
Makluman di Kelantan TV, satu saluran PAS di Facebook menunjukkan parti berkenaan mendahului di kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan
Kesemua calon PN bertanding dengan lambang PAS di tiga negeri ini. – 19 November, 2022.
MENYUSUL
Komen