DAP Sarawak dijangka pertahan 5 kerusi


Desmond Davidson

DAP dijangka akan mengekalkan kerusi majoriti Cina di Kuching, Stampin, Lanang dan Sibu, selain kerusi majoriti Dayak di Mas Gading.

Di Bandar Kuching, penyandangnya Kelvin Yii mendapat 27,875 kiraan undi, mendahului pencabar Tay Tze Kok dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang memperoleh 10,588 undi, setakat ini.

Calon ketiga, Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan, yang bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB), jauh ketinggalan dengan 1,064 undi.

Di Stampin, ketua Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen mendahului dengan 18,692, meninggalkan pencabar terdekatnya Lo Khere Chiang GPS yang mendapat 15,165 undi, setakat ini.

Penyandang DAP di Lanang, Alice Lau telah mengutip 23,265 undi mendahului calon GPS Wong Ching Yong yang setakat ini memperoleh 13,159 undi.

Dua lagi calon, Priscilla Lau dari PSB dan Wong Tiing Kiong (Bebas) jauh ketinggalan.

Di Sibu, Oscar Ling, yang telah mengutip 23,342 undi setakat ini telah mendahului pencabar terdekatnya, Clarence Ting Ing Horh dari GPS yang mengutip 17,466 kiraan setakat ini.

Presiden PSB Wong Soon Koh hanya memperoleh 7,919 undi pada kiraan terkini.

Di Mas Gading, calon DAP Mordi Anak Bimol juga mendahului Ryan Sim dari Parti Bumi Kenyalang dan Lidang Disen dari GPS.

Di satu-satunya kerusi majoriti Dayak, Mas Gading, yang dimenangi Modi pada pilihan raya lalu mendahului dengan 3,000 undi.

Beliau setakat ini berjaya mengutip 11,469 undi daripada 47,171 keseluruhan pengundi untuk mendahului pencabar terdekatnya, Lidang Disen dari GPS yang memperoleh 8,358 undi.

Calon ketiga, Ryan Sim Min Leong dari Parti Bumi Kenyalang (PBK), ketinggalan jauh di belakang dengan memperoleh 1,599 undi. – 19 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen