Adakah gelombang 2018 berulang?


G Manimaran

Bilangan pengundi kali ini lebih 21 juta berbanding 14 juta semasa PRU14. Peningkatan lebih 50% susulan pengenalan dasar Undi 18 dan sistem pendaftaran pengundi secara automatik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 November, 2022.

KALI ini saya tidak mengundi pada sebelah pagi. Pun begitu saya membuat tinjauan umum sementara dalam perjalanan ke stesen penyiaran Astro untuk sesi bual bicara awal pagi ini.

Pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, tempat nama saya didaftarkan untuk mengundi, yang berhampiran dengan rumah saya, kelihatan agak rancak dan luar biasa berbanding apa diramalkan pelbagai pihak.

Ramai menjangkakan peratusan keluar mengundi akan rendah seperti ketika Pilihan Raya Negeri Melaka, Johor dan Sarawak. Tetapi sejak awal saya meletakkan sasaran keseluruhan atau nasional adalah antara 70-75%. Saya yakin kita boleh capai paras itu.

Secara umum keadaan sama seperti situasi ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 55 bulan lepas, yang mencatatkan sejarah tersendiri dalam pelbagai sudut.

Ketika itu pengundi tidak kira umur, agama dan jantina beratur sejak awal pagi lagi turun beramai-ramai untuk menunaikan hak mereka. Peratusan akhir lebih 82%. Barisan panjang mencecah 1 kilometer dari pusat mengundi. Bukan saja di pusat mengundi yang dimaksudkan itu, tetapi juga di seluruh kawasan Parlimen Bangi yang merekodkan jumlah pengundi teramai ketika itu.

Kali ini Bangi juga merupakan kerusi paling ramai pengundi, lebih 303,000 berbanding lebih 178,000 empat tahun lalu.

Pada pagi ini, sekitar 7.30 pagi, pengundi sekali beratur panjang dalam jumlah luar biasa dan ramai, dengan berpayung sejak 7 pagi lagi. Pusat mengundi itu diwartakan untuk dibuka 8 pagi. Tempoh mengundi kali ini ditambah satu jam sehingga 6 petang.

Di Sabah dan Sarawak proses pengundian bermula 7.30 pagi dan ditutup 5.30 petang, kecuali di beberapa kawasan ditutup awal secara berperingkat mulai 11 pagi.

Berdasarkan pengalaman, meskipun dikhabarkan akan ada hujan di sebalik kehadiran musim tengkujuh lebih awal, pengundi mula beratur dengan penuh bersemangat dalam keadaan hujan yang turun sejak 5 pagi lagi di kawasan Bangi, dan berlarutan sehingga 9 pagi. Selain Bangi banyak kawasan di seluruh dibadai juga hujan.

Kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekitar 5 petang menunjukkan proses pengundian ditangguhkan bagi kawasan Baram ekoran banjir. Beberapa kawasan lain turut merekodkan kewujudan pusat penempatan sementara untuk mangsa banjir.

Baram, salah satu daripada dua kerusi Parlimen yang pengundian tidak diadakan kali ini. Baram disebabkan banjir. Padang Serai akan menyaksikan pilihan raya semula ekoran kematian seorang calonnya dari Pakatan Harapan (PH) pada Rabu lalu.

Apa yang disaksikan di Bangi dan seluruh negara mengembalikan memori akan kebanjiran pengundi. Ramai yang bekerja di Lembah Klang balik ke kampung halaman. Ada yang kerja di luar negara, kembali ke tanah air semata-mata untuk memenuhi hak dan tanggungjawab pilihan raya demokrasi ini.

Mereka menggunakan duit sendiri untuk pulang. Sesetengah pengundi dibantu pertubuhan bukan kerajaan. Syarikat tol juga menyediakan laluan bebas bayaran tol selama dua hari ekoran cuti umum yang diisytiharkan.

Ada syarikat tertentu menyediakan “hadiah” bagi mereka yang keluar mengundi dan menunjukkan jari mereka yang dicalitkan dakwat kekal di alam media sosial. Ia pun menggalakkan ramai untuk mengundi.

Keghairahan untuk mengundi yang diakibatkan ledakan teknologi turut menggalakkan ramai untuk keluar memberikan undi mereka.

Di sebalik semangat dan kemudahan disediakan ramai mengambil peluang untuk kembali dalam jumlah luar biasa – peratusan yang luar biasa – untuk memilih wakil rakyat masing-masing.

Bilangan pengundi kali ini lebih 21 juta berbanding 14 juta semasa PRU14. Peningkatan lebih 50% susulan pengenalan dasar Undi 18 dan sistem pendaftaran pengundi secara automatik.

Daya tarikan kali ini agar luar biasa. Ramai beranggapan golongan muda berusia 18 hingga 20 tahun tidak akan keluar mengundi. Mereka mengandaikan mereka tidak berminat untuk keluar mengundi. Begitu juga golongan bawah 29 tahun. Pengundi 18-20 tahun dan pengundi yang dimasukkan secara automatik dianggarkan tujuh juta.

Tanggapan ramai adalah golongan muda kurang berminat untuk memeriahkan pilihan raya dengan keluar mengundi. Anggapan itu turut dinafikan kali ini.

Setakat tengah hari tadi, empat daripada 10 yang keluar mengundi dilihat adalah orang muda, yang tersenarai dalam kumpulan 29 tahun dan ke bawah. Meskipun ramai yang beranggapan kumpulan pengundi ini tidak akan keluar mengundi, tetapi mereka membuktikan sebaliknya.

Pada Selasa lalu, hampir 95% daripada lebih 265,000 pengundi terdiri daripada anggota polis dan tentera mengundi awal di seluruh negara.

Stastitk SPR menunjukkan setakat 4 petang lebih 70% pengundi keluar mengundi. Peratusan itu dijangka boleh mencapai 78 hingga 80% berbanding 82% yang direkodkan ketika PRU14.

Meskipun kempen kali ini tidak seagresif berbanding ketika PRU18, mengambil kira pengalaman empat tahun lalu, pengundi-pengundi menunjukkan semangat luar biasa untuk keluar lalu memilih parti atau gabungan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Kali ini gelombangan PRU14 berulang tetapi dalam bentuk yang berbeza.

Di sebalik rungutan mengenai kelemahan proses pengundian di beberapa kawasan terutama di Selangor dan Wilayah Persekutuan, pengundi merentasi kaum dan agama menzahirkan kelainan untuk membuat pilihan mereka di peti undi.

Kita boleh menganggap gelombang luar biasa kali ini sebagai tsunami rakyat. Mereka mahu memilih kerajaan baharu yang boleh memenuhi keperluan mereka.

Kita tunggu angka rasmi SPR mengenai peratusan keluar mengundi, dan kemudian keputusan rasmi mandat rakyat.

Selepas itu, esok kita boleh mengikuti temasya Piala Dunia FIFA 2022. – 19 November, 2022.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen