NASIB orang Melayu di Johor Baru akan terjejas sekiranya datuk bandar dilantik daripada kalangan orang Cina, demikian tegas sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Johor.
NGO yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Pemikir Muda berkata cadangan tersebut hanya akan menjadikan Johor Baru seperti Pulau Pinang apabila nasib kepentingan kaum Melayu akan dipinggirkan.
“Justifikasinya cukup jelas, jika cadangan ini dilaksanakan kami khuatir tentang untung nasib dan dasar keberadaan orang Melayu di bandar besar akan terjejas.
“Jika perkara ini berlaku, besar kemungkinan bandar seperti Johor Baru akan menjadi seperti Pulau Pinang yang akan didominasi satu bangsa sahaja.
Di manakah nilai dan taraf orang Melayu di Pulau Pinang ketika ini,” kata aktivisnya Fikri Alauddin sewaktu dihubungi The Malaysian Insight.
Mengulas lagi tentang cadangan yang dibuat oleh presiden MCA Liow Tiong Lai , Fikri berkata tindakan parti komponen itu seolah mempertikaikan kewibawaan datuk bandar dalam kalangan Melayu untuk mentadbir.
Tambah anak muda itu lagi, cadangan itu seperti satu taktik terdesak MCA menarik undi orang Cina.
Katanya MCA tidak sepatutnya bermain dengan sentimen menyentuh sensitivi kaum hanya kerana mahu mendapatkan sokongan.
Walhal katanya, parti komponen BN itu menunjukkan prestasi terburuk dalam pilihan raya lalu dimana tidak dapat memenangi undi orang Cina luar bandar.
“Perlu diingat, MCA juga kalah di kawasan luar bandar yang majoritinya pengundi Cina, adakah dengan jawatan datuk bandar, kawasan luar bandar mereka akan dapat rampas kembali?
“Walau apa pun, kami tidak menyokong sama sekali cadangan ini terutamanya bagi bandar Johor Bahru. Presiden MCA sila turun ke Johor Bahru dan lihat sendiri kehidupan harmoni kami yang sentiasa mendukung muafakat bangsa Johor.”
Sokong, tapi kerusi MCA perlu diberi kepada Umno
Liow dikatakan membuat cadangan tersebut kepada Perdana Menteri Najib Razak seperti mana dilaporkan akhbar The Sun semalam.
Menurut Liow , ia adalah kerana mahu menjaga perasaan orang Cina dimana cadangan seperti itu akan membolehkan BN mendapat sokongan semasa pilihan raya akan datang.
Sementara itu. pengerusi Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) Jamal Yunos mempunyai pandangan berbeza tentangan cadangan MCA itu.
Jamal yang juga merupakan ketua bahagian Umno Sungai Besar berkata sebagai parti komponen BN , MCA mempunyai hak untuk berbuat demikian.
Tapi katanya lagi, sekiranya MCA mahu datuk bandar dilantik di kalangan orang Cina maka parti komponen BN itu harus terbuka untuk menyerahkan kerusi tradisi mereka kepada Umno.
Katanya parti komponen BN tidak boleh memikirkan kepentingan untuk mereka mempertahankan kuota kerusi sahaja tetapi soal kemenangan BN perlu lebih diutamakan.
“Seperti contoh di DUN Sekinchan kuota kerusi diberikan kepada MCA namun kita tahu kalau Umno bertanding kerusi itu maka peluang untuk menang lebih tinggi.
“Jadi tidak salah untuk memberi kerusi tradisi mereka sekiranya ia memberi kemenangan kepada BN.” – 1 Jun, 2017.
Komen