Penduduk Long Bemang redah banjir untuk mengundi


Desmond Davidson

Pengundi menaiki bot kecil untuk ke SK Long Bemang bagi membuang undi. – Gambar The Malaysian, 19 November, 2022.

PENGUNDI di Long Bemang, dalam kawasan Parlimen Baram terpaksa menaiki bot dan bukannya kenderaan pacuan 4 roda untuk sampai ke sekolah menengah berhampiran yang terletak berhampiran Sungai Baram yang hampir melimpah untuk membuang undi.

SK Long Bemang yang pernah dijadikan pusat mengundi dan kawasan sekitarnya ditenggelami air paras lutut.

Jabatan Pertahanan Awam dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, yang bersama-sama memantau banjir di Sarawak, mengekalkan amarannya kepada orang ramai di kawasan itu untuk terus berjaga-jaga menghadapi banjir terburuk.

Dennis Ngau, Adun Telang Usan berkata banjir itu dijangka kerana ia adalah “kejadian biasa” pada masa ini sepanjang tahun.

Telang Usan adalah satu daripada tiga kerusi DUN yang membentuk kawasan Parlimen kedua terbesar di negeri itu – saiz kawasannya lebih besar daripada kebanyakan negeri di Semenanjung – tetapi hanya mempunyai 59,535 pengundi.

Dua lagi kerusi DUN ialah Marudi dan Mulu. Ketiga-tiga kerusi DUN disandang Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ngau memberitahu The Malaysian Insight yang petugas kempen GPS sejak minggu lalu mula menyediakan seberapa banyak bot supaya ia boleh membentuk flotila kecil untuk menjalankan perkhidmatan ulang-alik percuma untuk membawa pengundi dari rumah panjang di kawasan itu ke sekolah dan pulang.

Penempatan terbesar di sana ialah rumah panjang 100 pintu Long Bemang dengan lebih 500 penduduk.

“Saya diberitahu mereka sedang menyediakan bot untuk kegunaan jika ada kampung yang dinaiki air.”

Beliau berkata rangkaian jalan raya di kawasan Long Bemang “nampak ok kerana tiada jalan ditenggelami air”.

“Orang ramai (dari Miri) boleh sampai ke kampung (dan penempatan) mereka tetapi satu-satunya masalah ialah beberapa pusat mengundi di kawasan Baram biasanya dinaiki air.”

Penyandang GPS, Anyi Ngau, berdepan pertempuran tiga penjuru untuk mempertahankan kerusi yang disandangnya selama dua penggal.

Beliau berdepan Roland Engan daripada Pakatan Harapan dan calon bebas Wilfred Entika.

Ini merupakan percubaan ketiga Engan, pengerusi PKR negeri sekarang, untuk merampas kerusi itu daripada Anyi. – 19 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen