Ceramah mega, perutusan khas tutup kempen PRU15


The Malaysian Insight

Pakatan Harapan menutup kempen di pentas ceramah di serata negara, dengan tumpuan di Ipoh, Perak, yang menampilkan pengerusinya Anwar Ibrahim yang bertanding di kawasan pilihan raya Tambun. – Gambar Facebook, 19 November, 2022.

KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berakhir tengah malam tadi dengan semua gabungan utama parti politik bertanding menggunakan waktu berbaki untuk mempertegaskan mesej kenapa mereka sepatutnya jadi pilihan pengundi.

Pakatan Harapan (PH) menutup kempen di pentas ceramah di serata negara, dengan tumpuan di Ipoh, Perak, yang menampilkan pengerusinya Anwar Ibrahim yang bertanding di kawasan pilihan raya Tambun.

Beliau menyeru anak muda supaya memberi peluang kepada PH untuk mentadbir negara dengan ikrar menghapuskan rasuah supaya negara ini tidak mereka warisi dengan pelbagai masalah.

“Saya mahu anak muda bangkit (dengan) cita-cita murni, benci kezaliman, rasuah, hipokrasi, kepura-puraan. Bagi kita mandat, kita hentikan kerja biadab dan kurang ajar ini,” katanya.

Di Tambun malam tadi, Anwar Ibrahim menyeru anak muda supaya memberi peluang kepada PH untuk mentadbir negara dengan ikrar menghapuskan rasuah supaya negara ini tidak mereka warisi dengan pelbagai masalah. – Gambar Facebook, 19 November, 2022.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi, yang pergerakan kempennya sepanjang dua minggu ini tidak dihebohkan seperti pimpinan gabungan politik lain, malam tadi memberi perutusan kepada pengundi melalui ucapan yang disiarkan di Facebook.

Ucapannya berlangsung serentak dengan perutusan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, juga melalui Facebook.

Dalam ucapannya Zahid mengingatkan pengundi supaya menolak PH dan PN yang didakwanya gagal mentadbir negara dengan baik.

“Pengalaman 22 bulan pemerintahan PH menunjukkan seorang pemimpin yang tersohor sahaja, tidak mencukupi kalau ia tidak didukung oleh barisan Kabinet, yang berpengalaman dan parti yang bertunjangkan akar umbi.

“Begitu juga jika seseorang pemimpin yang telah memimpin selama 17 bulan tetapi gagal untuk memberikan kesinambungan pimpinan yang baik,” katanya, merujuk pentadbiran Muhyiddin sebagai perdana menteri antara Mac 2020 hingga Ogos 2021.

“Maka jelas dua-dua parti, atau gabungan parti-parti berkenaan tidak harus diberikan mandat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bereksperimen,” tambahnya.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi menemui pengundi pada Program Mesra Bersama Komuniti Masyarakat Komuniti Cina di Bagan Pasir Laut semalam. – Gambar Facebook, 19 November, 2022.

Muhyiddin pula memberi ingatan agar pengundi membuat pilihan yang tepat.

“Pilihlah dengan betul. Pilihlah parti yang telah membuktikan dalam masa yang singkat, bahawa ia adalah satu wadah perjuangan yang mendengar denyut nadi rakyat, yang menjulang aspirasi dan cita-cita rakyat. 

“Tolak parti yang tidak mementingkan integriti, tolak parti yang membudayakan rasuah, tolak parti yang tidak mampu menunaikan janji,” kata Muhyiddin yang berucap dari Pagoh.

Dalam pada itu, calon perdana menteri BN Ismail Sabri Yaakob menghabiskan hari terakhir kempen di Bera, yang hendak dipertahankannya pada pilihan raya ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli pula menutup kempen Ayuh Malaysia di Pandan, kawasan pilihan raya yang ditandinginya semula selepas menang pada pilihan raya umum 2013.

Ceramah mega kemuncak Ayuh Malaysia juga berlangsung di 24 kawasan Parlimen lain, dari Kangar di Perlis sampai ke Sepanggar di Sabah.

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin bersama pengundi di Pagoh semalam. – Gambar Facebook, 19 November, 2022.

Jam-jam akhir kempen juga menyaksikan bekas tokoh Umno Rafidah Aziz berkempen di pentas PH untuk penyandang kerusi Segambut Hannah Yeoh, yang juga dari DAP.

Beliau yang sejak sebulan lalu sukar bernafas kerana masalah selepas jangkitan Covid-19 menyeru pengundi supaya jangan memilih calon “yang terbukti teruk”, yang hanya tahu berkhidmat pada diri sendiri tetapi tidak rakyat.

“Jangan mengeluh jika salah pilih. Orang kata saya dah bersara dan tidak perlu campur lagi dah, saya kata tidak boleh kerana ini adalah masa depan negara. 

“Saya tidak akan putus asa,” katanya.

Empat tahun lalu, pada PRU14, Rafidah juga tampil di pentas ceramah PH, antaranya di Melaka dan Selangor, termasuk bersama seorang lagi bekas tokoh Umno, Daim Zainuddin.

Penyokong PH yang hadir mendengar ceramah penyandang kerusi Segambut Hannah Yeoh di Taman Rimba Kiara, TTDI malam tadi. – Gambar Facebook, 19 November, 2022.

Sementara itu, pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Dr Mahathir Mohamad mengetuai ceramah akhir gabungan itu di Kuah, Langkawi.

Beliau merayu rakyat menolak semua gabungan dan memilih gabungan pimpinannya.

“Inilah rayuan saya kepada semua pengundi di seluruh negara. Tolak sama sekali tiga buah parti ini, dan beri sokongan kepada Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding sebagai Pejuang.

 “Kami akan mendirikan kerajaan yang baik. Yang tidak akan terpesong dengan tamak haloba diri sendiri. Inilah perjuangan GTA dan Pejuang. 

“Jika diberi kuasa sebagai kerajaan, kita akan lakukan yang terbaik bagi negara tercinta ini,” katanya, pada rapat umum yang dinamakan Perjuangan Demi Tanah Air.

Kempen PRU15 bermula  selepas penamaan calon 5 November lalu. Dalam tempoh dua minggu ini, gabungan yang bertanding meneruskan cara kempen tradisi di pentas ceramah selain kunjungan ke kawasan tumpuan umum.

Acara ceramah, yang sebahagiannya berlangsung dalam hujan, tetap mendapat sambutan, biarpun lebih ramai lagi yang selesa mengikuti melalui skrin di rumah atau di mana saja. – 19 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen