RAKYAT Malaysia merindui zaman kegemilangan Barisan Nasional (BN) dan dengan itu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah peluang untuk perbetulkan kesilapan semasa pilihan raya 2018, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi.
Pilihan rakyat memilih kerajaan berbeza pada pilihan raya lepas, telah menjatuhkan penguasaan 60 tahun BN sekali gus memburukkan negara.
“PRU15 adalah masa untuk BN mendapatkan kembali mandat rakyat. Mandat ini penting kerana mereka, yang diberikan peluang membentuk kerajaan pada PRU14 lalu, telah memburukkan lagi keadaan negara.
“Ramai rakyat amat merindui kegemilangan Barisan Nasional yang telah mereka saksikan dahulu. Kegemilangan pembangunan negara, kerancakkan ekonomi yang menatijahkan kesejahteraan hidup rakyat.
“Sehubungan itu, pilihan raya kali ini adalah peluang untuk seluruh rakyat berganding bahu dan bersatu hati. Marilah kita bersama-sama menyelamatkan negara ini dan tidak bereksperimen dengan mereka yang tidak ada legasi rekod pembinaan negara,” katanya dalam perutusan terakhir sebelum rakyat turun mengundi esok.
Zahid mendakwa BN akan stabilkan negara, berkata ianya telah dibuktikan.
Katanya BN sentiasa berpegang kepada prinsip kolektif, mendakwa keputusannya berdasarkan keutamaan, kebenaran dan konsistensi.
“Kestabilan amat penting bagi Malaysia untuk mendapatkan semula keyakinan pelabur asing, keyakinan rakyat negara sendiri, bahawa mereka mempunyai masa depan yang cerah.
“Yakinlah, amalan dalam BN ialah tiada pemimpin yang lebih tinggi daripada parti dan rakyat. Dengan prinsip ini BN mampu kekal kuat walaupun berdepan pelbagai halangan politik,” katanya.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata BN kini bergerak ke hadapan untuk membuat perubahan parti dan kerajaan, menjanjikan reformasi progresif.
Katanya, ia terbuka kepada kritikan dan sedia menerima pandangan daripada rakyat.
“BN bersedia membuka lembaran baharu, dengan membuat dasar yang lebih baik dan memperkukuh pembangunan.
“Kami berjanji akan melakukan perubahan progresif dalam tempoh beberapa bulan akan datang dan BN berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat dengan lebih baik,” katanya. – 18 November, 2022.
Komen