Jangan jadikan Malaysia negara eksperimen Pakatan, Perikatan, kata Zahid


Ravin Palanisamy

RAKYAT diminta menolak Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) kerana mereka gagal tadbir negara dengan bagus ketika memerintah selama 39 bulan, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahamd Zahid Hamidi.

Mengambil contoh pentadbiran 39 bulan PH dan PN, Ahmad Zahid berkata mereka gagal tunjukkan kepimpinan yang baik.

“Pengalaman 22 bulan pemerintahan PH menunjukan seorang pemimpin yang tersohor sahaja, tidak mencukupi kalau ia tidak didukung oleh barisan Kabinet, yang berpengalaman dan parti yang bertunjangkan akar umbi.

“Begitu juga jika seseorang pemimpin yang telah memimpin selama 17 bulan tetapi gagal untuk memberikan kesinambungan pimpinan yang baik.

“Maka jelas dua-dua parti, atau gabungan parti-parti berkenaan tidak harus diberikan mandat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bereksperimen,” kata Ahmad Zahid dalam ucapan khas di Bagan Datuk hari ini.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Malaysia bertukar sebanyak tiga kerajaan yang dipimpin oleh tiga perdana menteri berbeza.

PH mencipta sejarah dengan memenangi PRU14 namun pentadbirannya cuma bertahan 22 bulan apabila beberapa ahli Parlimen PKR melompat kepada Bersatu susulan Langkah Sheraton.

Berikutan itu, PN pimpinan Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan tetapi kepimpinannya berakhir selepas 17 bulan apabila beliau meletakkan jawatan untuk diganti dengan Ismail Sabri Yaakob.

Ahmad Zahid berkata rakyat patut kembalikan mandat kepada BN, bagi membolehkan gabungan itu mengembalikan zaman kegemilangan negara.

“Kita ada kepimpinan dan pengalaman menguruskan negara dalam keadaan baik dan buruk.

“BN adalah parti yang meraikan pelbagai pandangan tetapi tetap teguh berdasarkan keputusan kolektif.

“BN juga memegang matlamat yang sama iaitu mengutamakan keperluan rakyat walaupun berbeza pendapat,” tambahnya.

Ahmad Zahid berkata kestabilan negara dan kepimpinan hanya boleh dicapai melalui BN.

“Ini yang negara perlukan. Ini juga pendekatan kita selama ini yang boleh menjamin dan mengekalkan kestabilan.

“Kestabilan amat penting bagi Malaysia bagi mendapatkan semula keyakinan pelabur asing, keyakinan rakyat sendiri, yang mereka mempunyai masa depan yang cerah,” katanya.

Ucapan Ahmad Zahid dilihat sebagai percubaan terakhir menarik hati pengundi supaya memilih BN pada hari pengundian esok. – 18 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen