PAS dijangka pertahan Kelantan, Terengganu


Diyana Ibrahim

PAS dijangka tetap mengekalkan penguasaan mereka di Kelantan dan Terengganu dalam PRU15 yang akan berlangsung esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2022. 

PAS dijangka tetap mengekalkan penguasaan mereka di Kelantan dan Terengganu dalam PRU15 yang akan berlangsung esok, kata sumber parti itu dan juga parti lawan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, ia berdasarkan pemerhatian bahawa BN gagal memberi tentangan hebat kepada PAS menerusi calon diketengahkan.

Pemimpin jentera tersebut juga melihat kempen dijalankan BN kurang agresif dan suram sepanjang hampir dua minggu ini.

Kata mereka lagi, biarpun terdapat sentimen pengundi yang  kritikal terhadap prestasi PAS dalam kerajaan pusat dan kerajaan negeri, ia gagal digunakan sepenuhnya oleh pihak lawan.

Malah kehadiran PH, Gerakan Tanah Air (GTA) dan calon Bebas yang menyebabkan berlaku sehingga enam penjuru di kebanyakan kerusi tidak menjejaskan penguasaan PAS di pantai timur.

Salah seorang sumber Umno berkata, BN kini hanya yakin dengan dua kerusi putih iaitu Gua Musang dan Machang dari lima kerusi yang pernah dimenangi dalam PRU14.

“Prestasi teruk BN ini adalah kerana masalah dalaman parti termasuk isu tentang pengguguran calon pilihan seperti di Ketereh.

“Apabila nama penyandang, Annuar Musa digugurkan menyebabkan kerusi Ketereh menjadi kerusi kelabu buat BN,” katanya.

Sumber itu berkata bagi kerusi Tanah Merah pula statusnya terus bertukar menjadi kerusi hitam buat BN selepas penyandangnya Ikmal Hisham Abdul Aziz lompat menyertai Bersatu.

“Selepas penyandangnya lompat bahagian Tanah Merah digantung, dan calon BN Mohd Bakri Mustafa pula dikatakan bermasalah dan ditolak akar umbi,” kata sumber itu.

Bagaimanapun katanya BN dilihat mempunyai potensi menang di empat kerusi – Pasir Puteh, Tumpat, Bachok dan Jeli.

Sumber itu berkata faktor meletakkan calon Che Abdullah Mat Nawi yang merupakan penyandang dari PAS di kerusi Tumpat memberi sedikit kelebihan kepada BN .

“Ini termasuk pengunduran penyandang kerusi Jeli, Mustapha Mohamed memberi peluang kepada BN untuk merampas semula kerusi milik Umno,” katanya.

Menurut sumber, peletakan calon Che Abdullah Mat Nawi yang merupakan penyandang dari PAS di kerusi Tumpat memberi sedikit kelebihan kepada BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2022. 

PAS raih sembilan dari 14 kerusi Parlimen Kelantan dalam PRU14 – Tumpat, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kubang Kerian, Bachok, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

BN pula hanya menang lima kerusi – Ketereh, Tanah Merah, Machang, Jeli dan Gua Musang.

Pengerusi BN Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub sejak minggu lalu optimis gabungan itu mampu mencapai sasaran untuk memenangi sembilan kerusi Parlimen dalam PRU15.

PN yakin menang hampir semua kerusi Kelantan

Sementara itu seorang pemimpin akar umbi dari Bersatu yang enggan dinamakan berkata, PN yakin akan dapat menawan hampir semua kerusi Parlimen di Kelantan.

Ini termasuk kawasan yang sebelum ini sukar ditembusi PAS di kubu kuat Umno iaitu kawasan Parlimen Machang.

“Kawasan Machang kita yakin boleh tembus disebabkan kempen kita sangat agresif dan calon diletakkan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kena dengan selera pengundi Kelantan.

“Kemudian kita kena ingat Machang ada tiga kerusi DUN (Pulau Chondong, Temangan, Kemuning). Semua dimenangi kerusi PAS, dan Jazlan boleh menang masa PRU14 antaranya kerana sebahagian undi PAS juga.

“Tapi kali ini pengundi PAS yang menyokongnya akan balik undi PN kerana mereka marah dengan kenyataan Jazlan yang bertindak memutuskan hubungan Muafakat Nasional di Kelantan,” katanya.

seorang pemimpin akar umbi dari Bersatu yakin Perikatan Nasional akan dapat menawan hampir semua kerusi Parlimen di Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2022. 

Namun beliau menganggap kerusi Jeli tidak selamat buat PN selepas pengunduran pemimpin berpengaruh di situ, Mustapa Mohamed yang dianggap memberi kelebihan kepada BN.

“Masih 50-50 biarpun yang menggantikannya ialah pegawainya juga tapi pengaruh (Mustapa) terlalu besar, sentuhannya dengan pengundi sana terlalu peribadi. Jadi bila beliau tidak bertanding memang beri kesan.

“Cuma sekarang kita lihat beliau memang kerap turun padang membantu kempen sebab saya rasa beliau pun tak nak disalahkan oleh parti jika PN hilang kerusi Jeli,” katanya.

Ditanya mengenai tentangan dari PH pula, pemimpin jentera PN itu berkata persaingan di Kelantan masih lagi di antara PAS dan Umno.

Beliau melihat, hanya PH hanya memberi saingan di beberapa kawasan di Pasir Mas dan Kota Bharu tetapi masih sukar untuk menembusi penguasaan antara PAS dan BN.

Dua kerusi putih BN di Terengganu

Situasi sama dilihat berlaku di Terengganu yang menyaksikan hanya kerusi dua kerusi putih buat BN iaitu Kemaman dan Besut.

Selain dua kerusi itu, sumber dalam BN Terengganu percaya parti tersebut berpotensi menang di dua lagi kerusi Setiu dan Kuala Nerus.

“Setiu kita jangka ada potensi menang sebab dua faktor kita nampak – pertama pengundi yang dulu mengundi PAS akan berbalik semula kepada Umno,” katanya.

Jelasnya, Setiu yang sebelum ini deposit tetap bagi Umno gagal dipertahan dalam PRU14 kerana protes senyap dari pengundi parti Melayu yang menolak calon mereka ketika itu.

Faktor kedua pula, penolakan pengundi PAS kerana isu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kata sumber.

Prestasi PH di Terengganu juga dijangka sama seperti di Kelantan yang berdepan laluan sukar biarpun terdapat peningkatan sokongan.

Sumber tersebut memberitahu The Malaysian Insight, peranan PH dilihat sebagai pemecah undi antara BN dan PAS.

Dalam PRU14, PAS menang enam dari lapan kerusi Parlimen Terengganu dan BN hanya berjaya mempertahankan dua kerusi sahaja.

Namun BN kemudian hilang satu kerusi di Besut selepas wakilnya itu Rosol Wahid keluar menyertai Bersatu.

Prestasi Pakatan Harapan di Terengganu juga dijangka sama seperti di Kelantan yang berdepan laluan sukar biarpun terdapat peningkatan sokongan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2022. 

Pengerusi Pilihan Raya PH Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah turut mengakui sukar untuk parti itu menandingi penguasaan BN dan PAS di pantai timur.

Bagaimanapun prestasi PH dilihat lebih baik dengan pertambahan sokongan berbanding PRU15.

Angka yang dikongsinya menunjukkan PAS dan BN tetap mengekalkan sokongan tradisi di kerusi masing-masing.

“Kita rasa susah sebab sokongan akar umbi atau undi tradisi PAS dan Umno mewakili 30%. Jadi undi tradisi 30% ini tak akan berubah.

“Seperti contoh bila Takiyuddin Hassan menang di kerusi Parlimen Kota Baru pada PRU14 dia dapat 42% (undi) dan 30% daripada itu disumbang undi terasnya,” katanya.

Bekas pengerusi Amanah Kelantan itu berkata biarpun sukar namun PH tetap positif dan melihat beberapa kerusi yang mempunyai potensi menang terutama di kawasan bandar.

Kerusi tersebut Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah.

“Dan ada dua lagi kerusi yang kita rasa mungkin PH ada harapan iaitu di kerusi Pengkalan Chepa dan Kubang Kerian. Dua kerusi ini PH tidak hilang deposit semasa PRU14,” katanya.

PAS serta gabungannya PN perlu menguasai pertandingan di zon majoriti besar Melayu ini supaya dapat meraih sekurangnya 80% sokongan segmen tersebut untuk menang PRU15.

Pengerusinya Muhyiddin Yassin menetapkan sasaran menang sekurang-kurangnya 114 dari 171 kerusi Parlimen yang ditandinginya. – 18 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen