Muda hasrat menang semua 6 kerusi ditandinginya


Ravin Palanisamy

Penyertaan Muda dalam Pakatan Harapan pada PRU15 ini dilihat akan menambahkan lagi peluang parti itu untuk menang dan menarik golongan belia, walau dalam masa sama penganalisis menyifatkan Muda bukanlah parti yang mewakili semua golongan belia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2022.

DAPAT menang lebih daripada satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini sudah boleh dianggap sebagai kejayaan buat Muda, kata pengarah pilihan rayanya Amira Aisyah.

Walaupun Muda bertembung dengan calon-calon Barisan Nasional (BN) yang berpengalaman di enam Parlimen ditandinginya, timbalan presiden parti itu sangat optimis partinya dapat menang kesemuanya.

“Semua kerusi yang kita dapat bukanlah kerusi yang mudah menang. Ia kerusi-kerusi yang disandang gergasi dan juga kubu kuat BN.

“Apa-apa pun, Muda parti yang paling banyak peluang untuk menang. Kita masuk pilihan raya ini dengan cuma satu kerusi Parlimen iaitu Muar.

“Selepas PRU15, kalau kami dapat lebih daripada satu kerusi sudah satu pencapaian untuk kami, sebab kami parti baharu yang buat penampilan sulung pada PRU15,” kata Adun Puteri Wangsa itu kepada The Malaysian Insight.

Muda, yang membentuk pakatan pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) untuk PRU15, akan bertembung dengan calon-calon yang berkhidmat sebagai menteri, pemimpin parti dan nama besar dalam parti masing-masing.

Penyandang tunggal Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan bertanding tiga penjuru untuk kerusi Muar, di mana beliau akan menentang bekas Adun Puteri Wangsa Abdullah Husin dari Perikatan Nasional (PN) dan Mohd Helmy Abd Latif dari BN.

Calon-calon lain yang bertanding untuk Muda ialah Lim Wei Jiet (Tg Piai, Johor), Mutalib Uthman (Masjid Tanah, Melaka), Siti Rohayu Bahrin (Tg Karang, Selangor), Danial Abdul Majeed (Kepala Batas, Pulau Pinang), Sharizal Denci (Kota). Marudu, Sabah).

Di Tanjung Piai, Johor: Lim berdepan dengan timbalan menteri perusahaan perladangan dan komoditi selain orang kuat MCA Wee Jeck Seng, dan Najwah Halimah (PN)

Di Masjid Tanah, Melaka: Mutalib akan bertembung dengan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Mas Ermieyati, Abdul Hakim Abdul Wahid (BN) dan Handrawirawan Abu Bakar (Pejuang).

Di Tanjung Karang, Selangor: Siti Rohayu Bahrin akan menentang Habibah Mohd Yusof (BN), Azlan Sani Zawawi (Pejuang), Mohd Rosni Mastol (Bebas), Kapten (B) Dr Zulkafperi Hanafi (PN) dan penyandang kerusi yang juga pengerusi BN negeri Noh Omar yang telah telah digugurkan.

Di Kepala Batas, Pulau Pinang: Danial berdepan dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican, dan Dr Siti Mastura Mohamad (PN).

Di Kota Marud: Sharizal Denci akan bersemuka dengan Presiden PBS Maximus @ Johnity Ongkili (Gabungan Rakyat Sabah), Mohd Azmi Bin Hj Zulkiflee (Pejuang), Norman Bin Tulang (Bebas), dan Jilid @ Zainuddin Bin Kuminding (Warisan) dan Wetrom Bahanda (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat).

Amira berharap pengundi di enam kawasan itu memberi peluang kepada calon Muda untuk mengangkat suara mereka di Dewan Rakyat.

“Kami letak calon terbaik kami. Kami percaya jika mereka diberi peluang dan mandat untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan mereka, mereka akan buat yang terbaik.

“Orang seperti Syed Saddiq, Wei Jiet, Royahu, Mutalib, Danial dan Sharizal mempunyai rekod prestasi yang sangat baik dalam bidang masing-masing.

“Saya harap penduduk Muar, Tg Piai, Tg Karang, Masjid Tanah, Kepala Batas dan Kota Marudu memberi peluang kepada mereka,” katanya.

Adakah Muda berpeluang menang banyak?

Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata Muda mungkin tidak mewakili semua golongan muda walaupun parti itu berpaksikan golongan muda.

“Secara realistiknya, Muda mungkin masih ada sedikit kelebihan di Muar kerana penyandangnya, tetapi itu tidak dijamin jika melihatkan pilihan raya negeri Johor lalu.

“Selain itu, pengalaman Muda dalam pilihan raya Johor menunjukkan ia tidak mempunyai monopoli ke atas sokongan belia. Walaupun penyokong PH akan mengundi Muda, tidak jelas sama ada ini cukup untuk membantu Muda menang,” katanya.

Dr Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura merasakan Muda boleh mendapat manfaat daripada hubungannya dengan PH.

Walaupun parti itu tidak merayu kepada pengundi semua peringkat umur, beliau mendakwa pakatan pilihan raya Muda mungkin boleh menarik lebih banyak undi untuk parti itu pada PRU15.

“Muda, dengan sendirinya, hampir tidak boleh buat sesuatu yang ketara sebab daya tarikan mudanya tidak dapat meliputi pengundi semua peringkat umur di kebanyakan kawasan pilihan raya.

“Tetapi apabila digabungkan dengan PH atau perikatan progresif atau reformis lain, ia dapat mebantu Muda dari sokongan, sementara ia juga memberi mereka imej yang lebih menyegarkan untuk mendapat keputusan pilihan raya yang lebih baik,” katanya.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia meramalkan keputusan yang baik untuk Muda pada PRU15, berkata parti berasaskan belia itu dapat memperoleh sekurang-kurangnya dua kerusi parlimen.

Beliau meramalkan Syed Saddiq menang kerusi Muarnya dan Wei Jiet akan merampas kerusi Tg Piai daripada penyandang Wee Jeck Seng, memetik undi belia sebagai faktor utama kemenangannya.

“Muda ketika ini ada kelebihan. Ini kerana Muda sekutu PH.

“Penyokong PH akan sokong calon Muda, malah ketika ini, trend menunjukkan pengundi golongan muda cenderung untuk undi PH.”

Rakyat Malaysia akan membuang undi esok.

Kebanyakan tinjauan menunjukkan PH akan mendahului PRU15, namun rata-rata bersetuju yang ianya susah untuk gabungan itu membentuk kerajaan dengan sendirinya. – 18 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen