UPM sedia bas percuma bawa 1,355 pelajar pulang mengundi


Sebahagian pelajar UPM yang pulang ke kampung halaman masing-masing untuk mengundi menaiki bas percuma yang disediakan UPM. – Gambar ihsan UPM, 18 November, 2022.

UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) menyediakan 42 bas bagi membawa pelajarnya pulang ke kampung halaman untuk mengundi esok.

Naib Canselor UPM Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman dalam satu kenyataan berkata seramai 1,355 pelajar akan menikmati perjalanan percuma ini ke kampung halaman masing-masing.

Pergerakan perkhidmatan bas itu bermula semalam dan akan diteruskan hari ini.

“Kami menyediakan bas percuma untuk pelajar pulang ke kampung halaman. Jadi gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada PRU15 ini.

“Saya juga berharap pelajar menjaga keselamatan dan kesihatan diri apabila pulang ke kampung halaman dan semasa mengundi,” katanya.

Perkhidmatan perjalanan bas dibuat ke empat zon iaitu Zon Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang), Zon Utara (Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), Zon Selatan (Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) dan Zon Tengah (Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya), serta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

UPM juga sedang menyelaras pergerakan pelajar kampus Bintulu Sarawak ke Lapangan Terbang Bintulu untuk pulang mengundi di kawasan masing-masing.

Rakyat Malaysia mengundi esok. – 18 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen