Anwar Ibrahim dan Parti Komunis Itali


Hishamuddin Rais

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) selesai petang Sabtu 19 November 2022. Undi selesai dikira pada awal pagi Ahad 20 November 2022. Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan (PH) wajib memenangi lebih daripada 112 kerusi Parlimen.

Melintas angka 112 ini amat penting untuk Anwar menobatkan dirinya sebagai perdana menteri Malaysia ke-10. Melintasi angka 112 ini menjamin kerajaan PH kembali berkuasa.

Pada ketika tulisan ini digarap media dan portal berita melaporkan bagaimana PH teratas dalam meraih sokongan pengundi. Di belakang PH  ialah Perikatan Nasional (PN). Barisan Nasional (BN) kelihatan jauh tertinggal.

Dalam konteks menyeluruh, parti-parti baharu dan kecil atau barisan seperti Gerakan Tanah Air (GTA) tidakakan jadi peneraju. Peranan Dr Mahathir Mohamad dan Bersatu dalam PRU14 tidak akan berulang.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berperanan penting. Dua barisan ini sedia menunggu gabungan di Semenanjung untuk disokong. Ertinya sokongan GRS dan GPS adalah sokongan pelengkap dan bonus.

Justeru jika PH gagal melintasi angka 112 besar kemungkinan Anwar dan PH akan menerima nasib sama seperti Parti Komunis Itali (PCI).

Kenapa saya berkata sedemikian? Biar saya surahkan sejarahnya.

Pada zaman Reformasi 98 saya banyak menulis tentang Anwar dan Dr Mahathir. Ketika itu saya percaya bahawa Anwar adalah mangsa konspirasi Dr Mahathir.

Pada zaman reformasi saya melihat Anwar sebagai sosok yang berupaya menggalang satu United Front yang ampuh. United Front atau  Barisan Bersatu ini terdiri daripada badan NGO, aktivis politik, seniman, sasterawan, parti politik dan orang ramai.

Apa yang menyatukan dan menggalang barisan bersatu ini ialah harapan. Anwar membawa harapan. Anwar menggalang united front of hope.

Anwar telah ditendang oleh Dr Mahathir. Penyingkiran Anwar dari kerusi kepimpinan parti berkuasa ini telah membocorkan harapan rakyat. Pada ketika ini rakyat Malaysia dahaga perubahan.

Rakyat melihat Anwar akan membawa satu perubahan. Inilah harapan rakyat. Justeru gerakan jalan raya untuk menyokong Anwar mengampuh.

Saya menyamakan apa yang akan dihadapi oleh Anwar dan PH ini sama dengan pengalaman yang telah dilalui oleh PCI. 

Jangan silap faham. Anwar bukan komunis dan jauh sekali ahli PCI. Politik PH tidak ada sangkut paut dengan PCI.

Saya menggunakan PCI kerana pada hemat saya ada persamaan daripada apa yang telah dialami oleh parti itu dengan apa yang telah dan juga akan dialami oleh PH jika gagal melintasi angka 112.

PCI memiliki rekod yang cemerlang dalam melawan fasis Mussolini  (1883-1945). Selesai Perang Dunia Kedua, PCI telah mendapat sokongan rakyat. Parti itu banyak memenangi kerusi Parlimen Itali dan juga kerusi kerajaan tempatan.

Ini sama seperti kejayaan PH menawan Pulau Pinang dan Selangor selepas Reformasi dan ketika Anwar dalam penjara.

Tahun 70’an, untuk terus mendapat sokongan rakyat, PCI telah menjauhkan diri daripada Soviet Rusia. PCI mengambil garis eurokomunis, menjadi parti yang menyesuaikan diri dengan gaya hidup Eropah yang demokratik.

Hasil garis eurokomunis telah mendatangkan lebih banyak kerusi Parlimen kepada PCI. Tetapi PCI tidak pernah mendapat menubuhkan kerajaan. Ini kerana ada barisan parti-parti beraliran kanan yang menentang PCI daripada mendapat kuasa.

Hakikatnya, pilihan raya membuktikan PCI adalah parti yang disokong rakyat untuk meneraju Itali. Tetapi gagal menjadi kerajaan kerana ada banyak parti kecil mendapat peratus undi yang lebih kecil telah mendirikan barisan bersatu menghalang PCI daripada mendapat kuasa.

United Front menentang PCI diwujudkan tanpa hitam putih.

Pada 1974 Aldo Moro (1916-1978) dilantik sebagai perdana menteri Itali. Sosok ini ialah setiausaha agung Parti Christian Democracy (CD). Ketika ini PCI dipimpin oleh Enrico Berlinguer (1922-1984).

Dua sosok ini adalah pemimpin politik yang amat popular dalam sejarah dalam kalangan rakyat Itali.

Pada pilihan raya 1976 PCI mendapat 34% jumlah undi. Ini jumlah terbesar berbanding dengan semua parti politik yang lain.

Hasil pilihan raya 1976 dirasakan perlu didirikan kerajaan perpaduan antara parti CD dengan PCI.

Babak sejarah ini dirakamkan sebagai historic compromise – kompromi bersejarah. Dua parti yang berbeza ideologi ingin menggalang persatuan demi negara dan bangsa.

Suasana ini seakan akan sama seperti wujudnya kerjasama antara Presiden Umno Zahid Hamidi dengan Anwar, pemimpin PH.

Historic phone call – panggilan telefon bersejarah antara Zahid dengan Anwar meyakinkan orang ramai tentang wujudnya kerjasama dari dulu dan ke masa hadapan antara dua pemimpin ini.

Kerjasama CD dengan PCI ini mula diganggu gugat oleh parti-parti puak kanan dan parti kiri yang kecil yang  ada perwakilan dalam Parlimen Itali.

Kerjasama menentang kerajaan perpaduan CD dan PCI ini berakhir dengan penculikan Aldo Moro oleh kumpulan ekstrem kiri – Red Brigades. Selama 55 hari Aldo Moro hilang sebelum mayatnya ditemui. 

Kerjasama bersejarah berasaskan kompromi bersejarah antara CD dan PCI gagal setelah Aldo Moro mati dibunuh.

Anwar dan PH akan gagal  jika tidak dapat melintasi kemenangan yang lebih daripada 112 kerusi.

Dari segi logik politik, jika PH gagal mendapatkan 112 kerusi maka ia perlu mendirikan satu barisan baru untuk menambah kerusi dan menubuhkan kerajaan. 

Anwar dan PH wajib mencari kawan dari PN atau BN. Atau dari parti kecil yang menang.

Ketika ini apa yang berlaku sesudah pilihan raya tahun 1976 kepada PCI akan berlaku pada Anwar sesudah PRU15.

Akan digalang satu barisan bersatu dengan hanya satu agenda: Menafikan Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri.

Akan diwujudkan barisan bersatu untuk menghalang PH daripada mendirikan kerajaan baru.

PCI memiliki banyak musuh politik dari garis ideologi kanan. Anwar memiliki lebih ramai musuh dari garis politik kiri dan kanan. Malah Anwar menghadapi musuh dari dalam dan luar parti.

Parti berideologi kanan seperti parti Islam dan kaum kerabat penganut garis Islam konservatif kanan melalui sosok seperti Abdul Hadi Awang walaupun pernah bersama dalam ABIM – Angkatan Belia Islam Malaysia – akan menentang Anwar.  

Parti Islam pimpinan Hadi akan menolak Anwar kerana Anwar dianggap sebagai pengamal homoseksual dan bersimpati dengan LGBT.

Parti Islam konservatif garis kanan ini juga akan menggunakan ‘Cina dan kafir’ untuk memperkuat penolakan terhadap Anwar dan PH.

Cina dan kafir ialah DAP yang menjadi rakan politik Anwar dalam PH. PAS tidak akan mahu bekerjasama dengan DAP yang ditakrif sebagai parti kafir.

Bersatu pula akan menolak Anwar kerana presidennya Muhyiddin Yassin juga memasang niat untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

Dalam Bersatu masih ramai bekas ahli PKR yang telah hilang cinta dengan Anwar. Mereka ini seperti Azmin Ali, Mansor Othman dan Saifuddin Abdullah akan menentang Anwar.

Malah Muhyidin telah membuat kenyataan menolak Anwar untuk menjadi perdana menteri  kerana Anwar bekerjasama dengan DAP yang ditakrif oleh beliau sebagai parti Cina.

Apabila dua pemimpin komponen PN menolak Anwar maka Anwar akan cuba melamar Umno bawah pimpinan Zahid.

Anwar sendiri boleh berunding dan membuat kompromi bersejarah dengan Zahid, seperti yang dilakukan oleh Aldo Moro dengan Enrico Berlingeur.  

Anwar boleh menjanjikan kes Najib, kes Zahid dan kes kluster mahkamah akan dinilai kembali. Anwar adalah pakar membuat janji.

Tapi hakikatnya kerjasama PH dengan BN bukan semudah janji dilafaz. Zahid sendiri juga akan berdepan dengan Ismail  Sabri Yaakob, Khairy Jamaluddin dan Mohamad Hasan.

Sosok-sosok ini tidak ada rasa kasih sayang terhadap Anwar. Mereka benci bukan sahaja dengan Anwar, malah akan memusuhi sesiapa saja yang cuba menobatkan Anwar sebagai perdana menteri.

Sosok-sosok ini juga memasang niat untuk menjadi perdana menteri (PM). Ismail Sabri masih berhajat untuk duduk kembali di kerusi PM, mustahil akan mengalah kepada Anwar.

Sama seperti PCI, si Anwar ini berselirat dengan musuh. Ada musuh dari zaman ABIM seperti Kamaruddin Mat Nor, Kamaruddin Jaafar, Nik Aziz atau Ismail Mena. Mereka kenal baik perangai Anwar.

Jangan lupa bekas pegawai setia Anwar seperti Mohamad Ezam Mohd Nor dan Azmin yang kini menjadi musuh ketat Anwar.

Jangan lupa dengan Zul Nordin yang telah memakai kut untuk angkat sumpah bila kali pertama Anwar claim akan jadi PM pada 16 September 2008. Zul Nordin merasa dirinya tertipu.

Termasuk dalam kes kecewa ditipu oleh Anwar ialah sosok seperti Syed Hamid Ali, Sivarasa Rasiah, Maria Chin Abdullah, N Surendran dan Tian Chua. Sosok-sosok ini melihat bagaimana kerusi Parlimen mereka telah disailang oleh Anwar.

Manakala Sivarasa dan Surendran adalah dua peguam Anwar. Dua peguam inilah yang bekerja siang dan malam, pagi dan petang  mempertahankan Anwar dalam kes liwat Saiful Bukhari. Susu dibalas tuba.

Perangai Anwar membuat janji dan meninggalkan kawan ini telah menjadi rahsia umum.

Semua musuh dan sosok-sosok yang mengenali perangai dan tingkah laku Anwar ini pasti akan senyum puas apabila melihat satu gagasan pasca PRU15 yang khusus didirikan untuk menentang Anwar.

Sama seperti yang dilalui oleh PCI, gagasan ini tidak dihitamputihkan.

Di zaman reformasi dulu saya menulis united front of hope. Kali ini saya perhatikan akan wujud satu barisan bersatu united front of hate - barisan benci yang akan menentang Anwar menjadi PM.

Hubaya hubaya. Musuh yang paling bahaya untuk menggagalkan mimpi Anwar untuk menjadi PM ini bukan datang dari luar. Bukan kawan lama dari ABIM. Bukan dari mereka yang dinafikan kerusi. Bukan, bukan.

Musuh ini wujud dalam pucuk pimpinan PKR sendiri dalam bentuk sosok bernama Rafizi.

Timbalan presiden PKR itu lebih awal daripada yang lain telah menyatakan secara terbuka bahawa dia akan menentang kerjasama dengan Zahid atau dengan Umno.

Percanggahan dan perbezaan garis politik antara Anwar dan Rafizi ini jelas dilihat umum. Umum melihat tidak ada kasih sayang antara mereka.

Rafizi menolak konsep khemah besar sebelum PRU dan mungkin akan menolak kerjasama khemah besar dengan PN dan BN.

Rafizi dilaporkan mahu menggalang kerjasama dengan parti dari Sabah atau Sarawak. Sayangnya parti dari Sarawak dari awal telah berkata ‘No Anwar No DAP’.

Justeru Anwar dan PH wajib melintasi angka 112. Dengan angka ini Anwar dapat dinobatkan untuk menjadi perdana menteri dan PH menubuhkan kerajaan.

Awas! Jangan lupa melintasi 112 ini juga penting untuk menafikan daulah terpendam (deep state) daripada membuat onar. Daulah terpendam juga tidak pernah ada kasih sayang terhadap Anwar.

Seyogia diingatkan dalam politik tidak ada musuh tetap. Yang sentiasa tetap hanya kepentingan untuk mendapat kuasa. Politik juga adalah seni kemungkinan. Pelbagai kemungkinan boleh wujud dalam usaha untuk mendapat kuasa.

Yang jelas PH wajib menang lebih dari 112 kerusi untuk mendirikan kerajaan. Jika tidak, pengalaman sejarah Parti Komunis Itali akan berulang di Malaysia. PH akan mendapat kerusi banyak seperti Parti Komunis Itali tapi gagal jadi kerajaan. Amin. – 18 November, 2022. 

* Hishamuddin Rais ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Selamat Hari Ahad Pak Hisham... Salam Dari Pulau Jawa....senang membaca analysis tajam ANDA... Jika keyword nya Anwar butuh "112 kursi"... Maka perhatikan penjumlahan PH+BN=112 kerusi... cocok betul...Sebagai orang Jawa saya tahunya Anwar Dan Zahid adalah Kawan Lama "seperguruan politik" semasa mereka belajar politik di Jawa..jika saja tebakan saya tepat, Maka sejarah Baru Malaysia akan terjadi.... Kawan Lama itu REUNITED.. demi melawan Muhyidin dan PAS... Selamat datang Malaysia pada era pemimpin "yang itu-itu saja" ..tidak lagi baru... Salam Pak Hisham sehat selalu

    Dimuat naik 1 tahun yang lalu oleh Sandy Pratama · Ulasan