Pakatan 'sendu' di Sarawak, kata penganalisis


Desmond Davidson

Pengerusi PH Anwar Ibrahim berada di Sarawak hanya selama beberapa jam di Kuching ada 12 November lalu, tetapi berucap di tiga ceramah di Kalabakan, Putatan dan Sepanggar di Sabah pada hari yang sama. – Gambar Facebook, 18 November, 2022.

KEMPEN Pakatan Harapan (PH) di Sarawak ‘sendu’, menggambarkan keutamaan gabungan itu pada pilihan raya umum kali ini lebih kepada Sabah, kata penganalisis politik, mengulas program jelajah di dua negeri Borneo tersebut minggu lalu.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaysia berkata kesimpulan itu berdasarkan kepada kemunculan singkat Anwar Ibrahim di Sarawak pada 12 November lalu sebelum pengerusi PH itu berlepas ke Kota Kinabalu, Sabah pada hari yang sama.

“Ini jelas menunjukkan Sarawak bukan keutamaan Anwar, tetapi Sabah,” katanya kepada The Malaysian Insight, mengulas kempen singkat itu, berbanding tiga ceramah di Sabah.

Anwar yang ditemani Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berada di Kuching hanya selama beberapa jam, menawarkan janji pilihan raya kepada Sarawak, dalam satu majlis di sebuah hotel.

Manakala dalam kunjungannya ke Sabah, presiden PKR itu hadir di tiga ceramah, berucap di Kalabakan, Putatan dan Sepanggar.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, Awang Azman meramalkan PH akan menang lebih banyak kerusi di Sabah berbanding Sarawak.

PKR bertanding di 16 kerusi parlimen di Sarawak pada PRU15 esok.

Pada pilihan raya umum 2018, PKR menang empat kerusi menerusi Baru Bian di Selangau, Puncak Borneo (Willie Mongin), Saratok (Ali Biju) dan Miri (Dr Michael Teo). 

Baru, Ali dan Willie kemudian dipecat daripada parti ekoran pembabitan mereka dalam percaturan politik Langkah Sheraton yang menyebabkan kerajaan PH tumbang pada Februari 2020. Hanya Dr Teo yang masih kekal bersama PKR.

Kebanyakan penganalisis politik berkata PKR tidak mungkin akan mengulangi rekod PRU14 pada pilihan raya umum kali ini melainkan kerusi Parlimen Miri, yang dilihat satu-satunya berpeluang dimenangi parti itu.

Parlimen Miri mempunyai 143,229 pengundi berdaftar. Kerusi itu disandang Dr Teo selama dua penggal. Beliau bagaimanapun tidak mempertahankan kerusi itu pada PRU15.

Pengarah pilihan raya bagi kerusi Parlimen Miri Dominique Ng berkata agak sukar untuk PKR mempertahankan kerusi itu kali ini.

“Peluang 50:50. Pastinya sukar,” kata Ng, yang juga bekas Adun Padungan.

PH meletakkan Ketua Pemuda PKR Sarawak Chiew Choon Man sebagai calon di kerusi Parlimen Miri, yang berdepan pertandingan tiga penjuru. Beliau ditentang Jeffery Phang dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) bekas datuk bandar Miri Lawrence Lai.

Di Selangau pula suram, menurut pengarah pilihan raya PKR di kawasan itu, Joshua Jabeng, yang tidak meletakkan harapan kerusi itu akan berjaya dipertahankan dan menyalahkan pembelotan Baru sebagai punca.

“Kami mungkin akan berjaya (kekalkan kerusi) kalau dia tak berpaling tadah,” katanya.

Seorang anggota jentera GPS memberitahu The Malaysian Insight kerusi Selangau diyakini berada dalam genggaman gabungan itu.

Di Selangau juga calon muka baharu PKR Umpang Sabang berdepan pertandingan tiga penjuru, ditentang calon GPS Edwin Banta dan bekas majistret Henry Joseph yang bertanding atas tiket Bebas. 

PH juga dijangka menempuh jalan sukar di Saratok dan Puncak Borneo.

Gabungan itu meletakkan calon muka baharu Ibil Jaya di Saratok, menentang penyandang kerusi itu Ali Biju, bekas ahli Parlimen PKR yang kini bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), dan calon GPS Giendam Jonathan Tait.

Seorang lagi bekas wakil rakyat PKR Willie Mongin yang kali ini mewakili GPS dijangka menang selesa di kerusi Parlimen Puncak Borneo yang  mempunyai keseluruhan 79,969 pengundi berdaftar. Beliau dicabar Diog Dios (PH) dan Iana Akam (PSB).

Pada PRU14, Willie menang dengan majoriti 4,005 undi menewaskan pencabarnya Jeannoth Sinel (BN) dan Buln Ribos (Parti Reformasi Negeri Sarawak) dalam pertarungan tiga penjuru.

Manakala Amanah meletakkan calon di lima kerusi Parlimen di Sarawak – Kota Samarahan, Batang Sadong, Batang Lupar, Tanjong Manis dan Igan, dan dijangka tidak akan memberi saingat sengit kepada calon GPS-PBB.

DAP diramalkan hilang sehingga tiga kerusi di Sarawak pada pilihan raya umum kali ini, termasuk parlimen Stampin yang disandang ketua DAP negeri Chong Chieng Jen.

Parlimen Stampin yang mempunyai 121,009 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada PRU15 esok. Chong dicabar dua lagi calon iaitu Lo Khere Chiang (GPS) dan Lue Cheng Hing (PSB).

Pembantu Chong baru-baru ini dilaporkan berkata pengerusi DAP Sarawak itu menghadapi persaingan sengit untuk mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU14 dengan majoriti 14,222 undi. – 18 November, 2022. 

Berita penuh di sini


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen