PENYANDANG kerusi Tumpat Che Abdullah Mat Nawi tidak cukup pengaruh untuk menumbangkan parti lamanya dengan bertanding sebagai calon BN, kata anggota jentera PAS dan pengundi.
Mereka akui Che Abdullah mempunyai hubungan yang baik dengan rakyat, selalu turun padang dan mempunyai sifat pemurah dengan menghulurkan bantuan tanpa mengira parti.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight, keperibadiannya yang disenangi ramai itu antara penyebab PAS menang besar di Tumpat dengan majoriti 17,500 undi dalam PRU14.
Namun ia tidak dapat dijamin bagi Che Abdullah yang berpaling tadah menjadi calon BN selepas namanya tidak disenaraikan PAS untuk bertanding semula.
Seorang anggota jentera PAS yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Man meletakkan peluang kemenangan Che Abdullah masih sekitar 50-50.
“Ini berdasarkan sambutan yang kita lihat sepanjang tempoh beliau berkempen termasuk kehadiran penyokong dalam ceramah kelompok diadakan,” kata Pak Man, 66.
Jelasnya laluan pemimpin itu sukar kerana Tumpat memang dikenali antara kubu kuat PAS di Kelantan.
Pak Man berkata persaingan semakin sengit apabila PAS turut meletakkan calon yang kuat Adun Demit Mumtaz Md Nawi yang juga anggota exco.
“Sebagai exco pengaruh beliau juga sangat kuat tambah pula kempen mereka juga amat agresif, banyak pemimpin besar PAS yang hadir memberi sokongan.
“Malah semasa hari pencalonan, menteri besar Kelantan sendiri, Ahmad Yaakob turut hadir bersama
“Selain timbalan menteri besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah pernah buat kenyataan berjanji akan menyembelih 20 ekor lembu sekiranya PAS menang dengan majoriti 20,000, “ katanya.
Katanya kempen agresif PAS itu dilihat sebagai langkah mengurangkan protes senyap akar umbi dan pengundi apabila calon pilihan mereka digugurkan pucuk pimpinan.
Selepas nama Che Abdullah tidak diumumkan sebagai calon, akar umbi dan jentera PAS dilaporkan mogok dan setengah kawasan langsung tidak mahu menggantung bendera.
Pak Man sendiri mengakui beliau salah seorang ahli PAS yang mengikut pemimpin itu dan turut bersama membantu menjaga pondok BN di kampungnya.
“Saya antara yang mengikut Che Abdullah bila dia tukar haluan, tapi saya masih lagi ahli PAS,” katanya.
Selain Mumtaz, Che Abdullah berdepan Che Muhammad Aseri Che Ali (GTA) Wan Johari Wan Omar, Pakatan Harapan (PH) dan Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan).
Dalam PRU14 Che Abdullah yang ketika itu mewakili Pas menewaskan calon BN Wan Johani Wan Hussin dan calon PH Nordin Salleh dengan majoriti 17,500 undi.
Kawasan Tumpat dianggap kubu kuat PAS kerana parti Islam itu tidak pernah kalah di kawasan sejak tahun 1990.
Kesemua empat kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Tumpat juga dikuasai PAS – Pengkalan Kubur, Kelaboran, Pasir Pekan dan Wakaf Baru.
Majoritinya pengundi Melayu dengan 1% Cina dan 7% kaum lain termasuk penduduk Siam yang mendiami daerah itu.
Jumlah pengundi berdaftar untuk PRU15 kini meningkat hampir 35% kepada 149,471 pemilih berbanding angka PRU14.
Seorang lagi jentera PAS yakin parti Islam itu akan tetap kekal di Tumpat berdasarkan momentum sokongan yang terima sepanjang hampir dua minggu berkempen.
Hanya mahu dikenali sebagai Ain, katanya Che Abdullah dulu menang di Tumpat kerana penyokong PAS.
“Dan sekarang ini saya rasa yang dulu menyokong beliau pun sudah mula pergi kepada kita. Biarpun pada mula-mula memang ada sedikit tentangan dari akar umbi.
“Namun akhirnya ia dapat diselesaikan dengan penjelasan kita lakukan,” katanya yang enggan mendedahkan jumlah pengundi PAS atas alasan maklumat tersebut rahsia parti.
Sementara itu seorang pengundi Tumpat, Che Asri Muda, 37, berkata beliau sememangnya seorang pengundi BN dan akan memilih Che Abdullah pada Sabtu ini.
Che Asri yang tinggal di kampung Bendang Kerian berkata beliau tidak kisah jika calon kali ini dari pihak lawan seperti Che Abdullah..
“Saya tidak ada masalah dengan Che Abdullah walau dulu dia pemimpin PAS ahli Parlimen sini tapi semua kenal dia. Dia memang dikenali pemimpin yang rentas politik.
“Tak kisah parti mana dia tetap akan bagi bantuan, selalulah sembelih lembu, kambing dekat kampung ini,” katanya.
Selain itu Che Abdullah banyak membantu petani semasa menjadi exco pertanian Kelantan dan timbalan menteri pertanian di Putrajaya, katanya. – 18 November, 2022.
Komen