Annuar Musa pasti kalah jika tanding, kata bekas ketua perisik tentera


Diyana Ibrahim

Bekas ketua perisikan tentera darat Khlir Mohd Nor (tengah) yakin pengalamannya 40 tahun dalam risikan ketenteraan dapat membantu Perikatan Nasional merampas kerusi Parlimen Ketereh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2022.

PENYANDANG kerusi Ketereh, Annuar Musa pasti tewas jika tetap bertanding kali ini, kata pencabarnya Khlir Mohd Nor dari Perikatan Nasional (PN).

Bekas ketua perisikan tentera darat itu memberitahu The Malaysian Insight, beliau yakin pengalamannya 40 tahun dalam risikan ketenteraan dapat membantu PN merampas kerusi itu.

“Sebab itu saya yakin menang. Pesara tentera, tentera yang berkhidmat memang menyokong saya.

“Kalau saya lawan dengan Annuar Musa pun dia akan kalah dengan saya, sebab dia bukannya kuat sangat di Ketereh ini,” katanya ketika ditemui di kawasan Parlimen itu.

Jelasnya, Annuar selama ini mendapat sokongan PAS yang kini sudahpun beralih selepas parti Islam itu bergabung dengan Bersatu dalam PN.

“Kalau kita tengok Parlimen Ketereh ini yang bagi undi dekat dia sebahagiannya adalah penyokong PAS juga tapi ini bila saya bertanding undi akan diberi kepada saya.

“Tapi nasib baik dia tak tercalon, kalau tak dia akan malu (kalah),” katanya.

Khlir berkata, keyakinannya mendapat sokongan anggota tentera itu terbukti sebahagian jenteranya juga kalangan pesara tentera, selain ahli PAS dan Bersatu.

“Saya memang yakin saya boleh tarik undi tentera sebab masa mula saya diumumkan calon berapa ramai tentera, yang veteran dan masih berkhidmat mengucapkan tahniah, menyokong saya.

“Apa yang membuatkan saya lebih yakin, sebahagian daripada jentera saya juga ialah pesara tentera, ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Ketereh.

Beliau menganggarkan 3,000 undi berpusat di Kem Desa Pahlawan di Ketereh selain lebih 5,000 undi dari kalangan pesara di kawasan itu.

Dua lagi kem tentera terletak di kawasan Parlimen Tanah Merah, Machang dan Jeli.

Khlir akan menentang calon BN, Ketua Puteri Umno Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin, Rahimi L Muhamud (PH) dan Haniff Ibrahim (GTA) dalam pertandingan empat penjuru.

Dalam PRU14, Annuar memang kerusi tersebut dengan majoriti 4,626 undi dalam pertembungan tiga penjuru antara calon PAS, Wan Ismail Wan Jusoh dan Radzi Jidin dari Bersatu.

Annuar yang sering bergeser dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak tersenarai sebagai calon parti tersebut.

Beliau seterusnya mengumumkan akan bertanding sebagai calon Muafakat Nasional, parti baharu yang ditubuhkannya, tetapi kemudian berubah pendirian dan tidak bertanding.

Dalam PRU14, Annuar Musa memang kerusi Parlimen Ketereh dengan majoriti 4,626 undi dalam pertembungan tiga penjuru antara calon PAS, Wan Ismail Wan Jusoh dan Radzi Jidin dari Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2022.

Rekod baik

Mengulas lanjut, Khlir berkata beliau kini menggalas tanggungjawab yang cukup berat untuk membawa suara dalam memperjuangkan isu membabitkan tentera dan pesara tentera.

Ujarnya isu tersebut diluahkan oleh tentera, pesara tentera yang berharap ada wakil di Parlimen yang dapat memperjuangkan dan membela nasib mereka.

Khlir berkata sepanjang beliau dalam bidang kenteteraan, rekodnya cukup baik tidak pernah bertindak menggantung mana-mana anggota tentera dibawahnya.

“Saya kata betul, kalau kita jadi tentera sombong memang tak ada orang akan sokong tapi setakat ini saya tak pernah mengkhianati tentera.

“Sepanjang 40 tahun berkhidmat tak pernah saya ambil tindakan terhadap seorang pun manusia (anggota tentera). Rekod saya bagus, dan di kampung ini saya bukan orang asing.

“Sejak dulu berapa ramai yang saya bantu. Orang kampung ini anak mereka nak masuk tentera, untuk tukar posting, tak pernah saya tak bantu,” kata anak kelahiran Ketereh itu.

Ditanya tentang sikap anggota tentera yang lazimnya memihak kepada kerajaan ditadbir BN, Khlir berkata PN juga merupakan sebahagian daripada kerajaan.

Khlir Mohd Nor dari Perikatan Nasional (PN) sewaktu melawat penduduk di sekitar Parlimen Ketereh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2022.

“Memang undi tentera ini akan memihak kepada BN, sebab tentera ini mereka berkhidmat ikut kerajaan pada hari ini.

“Tapi sekarang sebelum parlimen dibubarkan kerajaan daripada PN, termasuk Umno.

“Jadi bagi saya tidak salah sebab PN memang dalam kerajaan dulu, kita ada menteri kabinet dari PAS Bersatu yang kini menteri penyandang,” katanya.

Khlir juga mengakui keberatan pada peringkat awal untuk menceburi politik tetapi sukar menolak pujukan PN yang menaruh harapan tinggi ke atas beliau.

Katanya, perjuangan PN yang  menolak rasuah dan mahu membina semula negara menyebabkannya tertarik dan bersetuju untuk menjadi calon gabungan itu.

“Kalau ikutkan saya ini dah bersara, saya sejak dari umur 18 tahun jadi tentera sampailah saya di atas.

“Saya pernah (melaksana tugas) dalam Pejabat Perdana Menteri, di Bukit Aman, sampai di luar negara pun ada. Memang nak kata rahsia itu saya pegang banyak.

“Tapi bila saya bersara itu saya nak bersaralah. Sampai mereka panggil saya, katanya khidmat saya masih diperlukan dan bila saya fikir balik memang hasrat saya untuk bangunkan semula negara.

“Selamatkan negara kita ini memang dah rosak hancur. Jadi saya rasa perlu buat sesuatu dan akhirnya bersetuju menjadi calon kerana ingin selamatkan negara dari kehancuran,” katanya. – 17 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen