GPS tidak akan bekerjasama dengan parti abai hak Sarawak, kata penganalisis


Desmond Davidson

PERSELISIHAN antara pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) Abang Johari Openg dengan Muhyiddin Yassin berhubung hasrat pengerusi Perikatan Nasional (PN) untuk meletakkan calonnya di Sarawak membunuh peluang kedua-duanya bersatu untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas pilihan raya umum.

GPS juga sudah menjelaskan sejak awal lagi bahawa ia tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) kerana DAP.

Pemimpin Sarawak tidak lupa dengan dua pemimpin DAP Lim Guan Eng dan Ketua PH Sarawak Chong Chieng Jen yang tidak banyak membantu negeri itu semasa PH memerintah.

Ini menjadikan GPS hanya mempunyai Barisan Nasional (BN) sebagai rakan kongsi.

PN meletakkan calon di Saratok (Ali Biju), Lubok Antu (Jugah Muyang), Bintulu (Duke Janteng) dan Batang Lupar (Hamdan Sani).

Penganalisis politik James Chin berkata jumlah kerusi yang akan menjadi penentu.

“Orang ramai tidak kisah (dengan siapa GPS bekerjasama). Mereka hanya mengambil berat berapa kerusi diperoleh pada Sabtu – (dan) siapa yang mempunyai nombor yang mungkin menjejaskan hak Sarawak,” katanya.

Profesor sains politik Universiti Putra Malaysia, Jayum Jawan bersetuju dengan Chin yang perselisihan antara pemimpin GPS dan PN masih mempunyai ruang kepada mereka untuk bekerjasama.

Chin berkata “dalam politik tiada musuh kekal dan tiada kawan yang kekal”. 

Jayum berkata Muhyuddin sekadar mengingatkan Abang Johari yang GPS perlu membalas budi baik PN pada pilihan raya Sarawak 2021.

Jayum merujuk kepada Ali Biju daripada Bersatu, yang memilih untuk tidak mempertahankan kerusi Krian untuk memberi laluan kepada calon GPS.

“Budi baik perlu dibayar balik,” katanya.

Abang Johari menafikan sebarang perjanjian sedemikian.

Chin berkata rakyat Malaysia Timur mempunyai matlamat yang berbeza.

“Rakyat di Semenanjung mencari kestabilan politik tetapi ini mungkin tidak berlaku untuk Sabah atau Sarawak.

“Kita tidak mahu kerajaan persekutuan yang begitu kuat sehingga boleh mengabaikan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak, seperti yang berlaku pada tahun pemerintahan BN.

“Sekarang kita mempunyai sistem yang sempurna di mana mereka (pakatan di semenanjung) bergantung pada GPS untuk kekal berkuasa dan lihatlah, kita mendapat semua konsesi ini.”

Beliau berkata masih terdapat kemungkinan gabungan berjaya memenangi majoriti dalam pilihan raya umum akan mengabaikan tuntutan Sarawak dan Sabah supaya syarat Perjanjian Malaysia 1963 dipenuhi. – 17 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen