Pengundi utara cenderung parti teras Islam


Mohd Farhan Darwis

Kebanyakan pengundi di negeri utara tanah air cenderung memilih gandingan PAS dengan Bersatu dalam PN sebagai alternatif untuk menolak BN yang dianggap terpalit rasuah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2022.

RATA-RATA pengundi di negeri utara tanah air cenderung memilih gandingan PAS dengan Bersatu dalam PN sebagai alternatif untuk menolak parti BN yang dianggap terpalit dengan rasuah.

Tinjauan The Malaysian Insight di kawasan majoriti pengundi Melayu di negeri ini mendapati PN juga lebih menarik perhatian kelompok pengundi baharu.

Mereka mengaku lebih cenderung memilih parti “berasaskan Islam” dan menolak PH kerana termakan dengan kempen undi kepada gabungan itu “sama dengan undi DAP”.

Walaupun Umno yang menerajui BN dianggotai orang Melayu dan Islam, imej pemimpinnya yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa membuatkan pengundi lebih berhati-hati.

Pengundi dari Parlimen Jerai, Muhammad Ikhwan Shazmi, 27, melihat slogan Bersih Dan Stabil, yang digunakan PN dalam kempen PRU15 berjaya menarik minat pengundi sepertinya.

“Di sini yang menonjol PAS, bila mereka masuk PN nampak mereka dapat limpahan sokongan, ditambah lagi dengan skandal (parti lawan).

“Kawan ini kata macam ini, kawan ini pula kata kawan itu tebuk atap, kawan itu makan rasuah, PH ganggu keharmonian kaum… Masing-masing ada isu.

“Orang tempatan juga kurang sambutan terhadap DAP disebabkan sentimen pentadbiran PH 22 bulan jadi kerajaan, bila mereka perintah kacau banyak benda (berkaitan hal ehwal Melayu).”

Mengulas mengenai persaingan ke atas penyandang kerusi Jerai Sabri Azit, beliau melihat wakil PAS itu mendahului berbanding lawan terdekat dari BN, bekas menteri Jamil Khir Baharom.

“Saya nampak di Jerai kelebihan kepada Sabri, berbanding Jamil Khir yang lebih banyak berada di luar kawasan daripada di dalam kawasan.

Bagi Muhammad Ikhwan Shazmi, slogan Bersih dan Stabil yang digunakan Perikatan Nasional berjaya menarik minat pengundi seperti dirinya.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 November, 2022.

“Saya nampak dengan bantuan kerajaan negeri yang masih di bawah PN nampak mereka ada harapan menang,” katanya.

Dalam pertembungan empat penjuru itu Sabri juga dicabar Zulhazmi Shariff dari DAP dan Nizam Mahshar calon Pejuang.

Zulhazmi, yang merupakan timbalan pengerusi DAP Kedah menjadi sasaran serangan kempen PN dan PN yang melabelkannya sebagai alat kepada DAP.

“Calon DAP itu pun saya kenal sebab Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor sebut dalam ceramahnya,” kata Muhammad Ikhwan yang menambah tidak mengenali calon Pejuang.

Selain itu, beliau juga cenderung memilih PN kerana gabungan itu kini menerajui kerajaan negeri, tambah pengundi itu.

Kedah salah satu daripada tiga negeri di bawah PN yang diterajui PAS iaitu Terengganu dan Kelantan yang tidak membubarkan DUN mereka pada PRU15 kali ini.

Seorang lagi pengundi Jerai, Nur Nabihah Raihan, 20, membayangkan akan mengundi calon dengan asas agama yang kuat.

“Kita pilih mereka yang boleh bimbing dari segi agama, boleh jadi pemimpin, bukan orang yang hanya muncul waktu PRU. Bila kami ada masalah dia hilang,” katanya pengundi pertama kali itu.

Nur Nabihah juga mengakui lebih mengenali Sabri berbanding Jamil Khir, walaupun anggota majlis kerja tertinggi Umno itu pernah mewakili kawasan itu dalam penggal lalu.

Kerusi itu dimenangi PAS semula dalam PRU14 selain dua lagi kerusi, Sik dan Pendang. Kali ini PAS bertanding lapan kerusi manakala Bersatu tujuh dari keseluruhan 15 Parlimen Kedah.

Selain mengekalkan kerusi yang disandangnya, PAS juga dilihat berpotensi menang di Baling dan Padang Terap yang hanya dikuasai BN dengan kelebihan sekitar 1,000 undi dalam PRU14.

Di Kangar, Perlis pula, seorang pengundi baharu turut mempamerkan keghairahan untuk memastikan undinya dapat membantu kemenangan PN di kawasan itu.

Haikal Zakaria, 18, yang ditemui dalam satu program Jelajah PN Best di Kuala Perlis berkata beliau akan menggunakan peluang mengundi buat pertama kali untuk menolak DAP.

“Saya ingin mengundi untuk memastikan tidak mahu DAP berkuasa dan perintah Malaysia.

“Saya mahu mengundi PAS kerana PN parti banyak ulama, bebas dan stabil, PAS pun tak pernah menang lagi di Perlis, sedangkan ramai ustaz di sini,” katanya.

Nur Nabihah Raihan (kanan) membayangkan akan mengundi calon yang memiliki asas agama yang kuat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim,16 November, 2022.

Di kawasan Parlimen dengan kira-kira 82% pengundi Melayu itu, PN meletakkan calon dari Bersatu manakala PH menurunkan calon dari PKR.

Kerusi itu disandang Noor Amin Ahmad yang kini berdepan empat lawan Zakri Hassan (PN), Fathul Bari Mat Jahya (BN), Rohimi Shapiee (Warisan), dan Nur Sulaiman Zolkapli (Pejuang).

Mengulas perkembangan yang berlaku dalam kempen setakat ini, seorang nelayan di kawasan itu, Halim Mat, 65, yang sekian lama menyokong BN berasa PAS akan dapat menawan negeri itu.

Beliau memerhatikan tindak-tanduk Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang digelarnya “ketua penyamun” akan menyebabkan parti yang disokongnya itu kalah.

“Kita nak kepada BN tapi selagi ketua penyamun itu ada di atas kita tak akan bagi undi kita. Dia cuma nak lepaskan masalah dia sahaja, sedangkan dialah punca (PRU15 berlangsung awal).

“Bila ditegur dia buang orang. Rasa-rasanya kali ini PAS boleh menang dan jadi kerajaan Perlis, katanya.

Beliau merujuk tindakan ke atas Shahidan Kassim yang bertanding atas tiket PN kali ini selepas digugurkan sebagai calon BN di Parlimen Arau. Kerusi itu dimenangi Shahidan sejak lima penggal.

Selain Arau, PAS turut meletakkan calon di kerusi Padang Besar di negeri itu.

Kecenderungan pengundi terhadap PAS itu selari dengan satu tinjauan Merdeka Centre tahun 2011 yang mendapati belia berusia 15 hingga 20 tahun cenderung mengambil pendirian konservatif.

Tinjauan itu mendapati, 70% daripada 1,060 responden mahu Perlembagaan ditukarkan dengan al-Quran, dan 80% lebih gemar identiti Muslim berbanding bangsa.

Kelompok itu kini membentuk antara kumpulan pengundi terbanyak dalam daftar pemilih Indonesia – sekitar 4.6 juta bagi usia 21 hingga 29 tahun, dan 4.7 juta pengundi berusia 30 hingga 39 tahun.

Daftar pemilih PRU15 Malaysia pula menunjukkan jumlah sekitar 1.4 juta pengundi berusia 18 hingga 20 tahun daripada keseluruhan 21.1 juta pengundi berdaftar waktu ini.

Peningkatan besar pengundi baharu kali ini antara faktor mendorong PAS menyatakan keyakinan menawan Perlis dan Pahang, selain mengekalkan penguasaan di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

PAS bertanding sembilan daripada 15 kerusi DUN Perlis dan baki enam lagi ditandingi Bersatu, manakala di Pahang, parti itu bertanding di 24 daripada 42 kerusi DUN. – 17 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen