RSN Rayer dilarang masuk Sarawak


Desmond Davidson

RSN Rayer, yang menaiki penerbangan Firefly FY2752 dari Pulau Pinang ke Kuching telah dihalang oleh pegawai imigresen sebaik tiba kira-kira pukul 5 petang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2022.

PENYANDANG Parlimen DAP Jelutong RSN Rayer menjadi ahli politik pertama dari Semenanjung yang tidak dibenarkan masuk Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Rayer, yang menaiki penerbangan Firefly FY2752 dari Pulau Pinang ke Kuching telah dihalang oleh pegawai imigresen sebaik tiba kira-kira pukul 5 petang.

Kunjungan beliau itu bagi menyertai Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen dan penyandang kerusi Bandar Kuching Kelvin Yii untuk ceramah politik di Batu Kawah, malam ini.

Rayer dipercayai berada dalam “senarai hitam” imigresen Sarawak.

Dalam mesej video disiarkan di Facebooknya, beliau mendakwa hanya diberitahu oleh pegawai imigresen tidak boleh masuk ke Sarawak dan dimasukkan ke dalam penerbangan yang tersedia untuk kembali ke Pulau Pinang.

Bagaimanapun, DAP berkata Rayer telah diberitahu beliau dihalang “atas notis yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri pada 2016”.

Dalam mesej video itu, beliau memohon maaf kepada semua penyokong DAP yang akan hadir ke ceramah itu, menambah beliau tidak akan berada di sana untuk bertemu dan bercakap dengan mereka.

“Saya minta maaf kerana saya tidak dapat berjumpa dengan anda dan bercakap dengan anda dalam ceramah.”

Beliau akan dihantar pulang dengan penerbangan Malaysia Airlines MH2597 9 malam ini ke Kuala Lumpur, sebelum pulang ke Pulau Pinang pukul 11.20 malam ini. – 16 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen