GELARAN pengkhianat ke atas penyandang kerusi Larut Hamzah Zainudin nampaknya tidak membekas pada pengundi yang mengaku masih setia menyokong bekas menteri Barisan Nasional (BN) itu.
Pengundi dan pemimpin jentera parti memberitahu The Malaysian Insight demikian kerana melihat Hamzah menguasai kelebihan dalam kempen yang masuk minggu kedua waktu ini.
Penyelaras Pejuang kawasan itu Mat Supri Musa berkata, penguasaan setiausaha agung Bersatu itu antara lain dikesan dari kekuatan jentera, hubungan dengan pengundi dan juga sumber kewangan.
Katanya, Hamzah mempunyai sokongan akar umbi PAS bagi menggerakkan jentera mereka ke seluruh pelusuk Parlimen Larut dalam kempen mengekal kerusi disandang tiga penggal itu.
“Di Larut saya tengok dia macam gajah, tidak ada siapa boleh lawan, (boleh) menang dia…Umno pun boleh kalah.
“Hubungan Hamzah dengan pengundi dia hebat, dia juga gunakan kelebihan kewangan dia. Jadi dia nak kalah di Larut bagi saya susah,” kata pesara guru berusia 68 tahun itu.

Mat Supri berpengalaman memerhati karier dan gerak kerja politik Hamzah dengan dekat sewaktu berkhidmat sebagai pegawai khas kepada menteri yang kini menjaga Kementerian Dalam Negeri.
Beliau berkhidmat dengan Hamzah sekitar tahun 2018 selepas Hamzah disingkir dari Umno kerana mengkritik skandal 1MDB Najib Razak.
Mat Supri yang menjadi ahli jawatankuasa Umno Larut lima penggal itu juga pernah bertanding di DUN Kubu Gajah mewakili Bersatu yang ketika itu bersama PH di PRU14, namun tewas.
Beliau kemudiannya menyertai Pejuang sebaik sahaja parti itu ditubuhkan pada 2021 kerana yakin dengan perjuangan di bawah pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.
Kini kempen Hamzah lebih kuat kerana dapat menggerakkan sokongan dari jentera PAS, kata Mat Supri.
“Kaedah kempen, Hamzah guna cara sama seperti Umno, dia ada kemampuan dan tenaga dia dapat sokongan PAS 100 peratus.
“Tenaga dia dah setanding dengan Umno. Tenaga pilihan raya gerak kerja pilihan raya tak boleh lawan Umno, kecuali PAS, ini dua parti ada struktur sama.
“PAS hebat sikit kerana jentera mereka bekerja tanpa imbuhan. Calon saya bukan saja kata kalah, tapi mungkin hilang wang pertaruhan,” tambahnya.

Kehadiran PN di Larut dapat dilihat dengan jelas melalui deretan bendera yang dipasang di segenap kawasan tumpuan strategik di kawasan Parlimen itu.
Gerak kerja jentera PN dengan berbaju seragam parti juga dapat dilihat di merata-rata kawasan di Larut dalam usaha mereka membantu kemenangan Hamzah.
Sejak sekian lama, Larut menyaksikan pertembungan BN dan PAS, sehinggalah parti Islam itu menggerakkan PN bersama Bersatu.
Lebih 90 peratus pengundi di Parlimen Larut dari komuniti Melayu yang biasanya memilih sama ada menyokong kedua-dua parti berasaskan Melayu dan Islam itu.
PAS mendapat 13,698 undi atau 35 peratus dalam PRU14, manakala Hamzah menguasai hampir 46 peratus daripada kira-kira keseluruhan 50,000 pengundi berdaftar atau sekitar 18,184 undi, waktu itu.
Kali ini, terdapat pertambahan sekitar 16,000 pengundi di Larut.
Di peringkat DUN, Larut dibentuk tiga kawasan negeri. Kubu Gajah dan Selama dimenangi PAS dengan majoriti tipis masing-masing 180 undi dan 289 dalam PRU14.
DUN Batu Kurau pula dimenangi BN pada waktu melalui calon Muhammad Amin Zakaria yang menang dengan majoriti 2,308 undi.

Pelbagai drama politik menyusul selepas itu. Sewaktu Hamzah menang Larut buat penggal ketiga dalam PRU14, beliau masih dalam dalam BN.
Beliau meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu yang berjaya menguasai Putrajaya bersama gabungan Pakatan Harapan (PH).
Selepas 22 bulan mentadbir, PH tumbang apabila Bersatu meninggalkan gabungan PH bagi membentuk kerajaan baharu dengan presidennya Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Kesemua penyandang kerusi DUN bertanding untuk mempertahankan kerusi masing-masing, kecuali di kerusi BN, Batu Kurau yang kini menawarkan calon baharu Saliza Ahmad.
Mengulas pergolakan politik dan tindakan Hamzah serta Bersatu yang mengalih sokongan, kalangan pengundi yang ditemui The Malaysian Insight berpendapat ia tidak memberi kesan.
Seorang peniaga kedai makan, Hamimi Awang, 34, berkata, walaupun sudah sebati dengan Umno sejak sekian lama, penduduk Larut cenderung memilih calon berbanding lambang.
Menurutnya, mereka lebih terdorong memilih calon yang mudah didekati dan boleh bekerja untuk penduduk.
“Hamzah lompat di sini tak beri kesan. Kita tolak parti, kita nak orang boleh bekerja. Parti mana tak kisah. Kami tak terikat tapi kita boleh nampak kita minat orang yang boleh bekerja dan mampu tolong penduduk.
“Kebanyakannya di (Larut) penduduk sudah sebati dengan BN dan Umno, manakala untuk Hamzah pula dia dikenali dengan kebaikan dan pertolongan, jadi orang lebih tertarik dengan dia,” katanya.

Pengundi juga berharap wakil mereka mampu meningkatkan tahap ekonomi penduduk, seperti dinyatakan seorang peniaga kecil yang menyebut isu itu lebih besar berbanding isu pengkhianatan.
Beliau yang enggan namanya disebut berkata, anak tempatan mahu pembangunan untuk menghidupkan ekonomi supaya dapat meningkatkan taraf hidup.
“Sesetengah orang tak tahu Selama itu di mana. Kami nakkan orang luar tahu dan hidupkan perniagaan di sini jadi perniagaan kecil seperti kami hidup.
“Hamzah bertaraf menteri jadi lebih kuat untuk tarik ekonomi (masuk), kalau Hamzah menang kita harap dia dapat bawa lagi,” katanya.
Daerah tersebut bermula sebagai kawasan perlombongan bijih timah yang menarik ribuan pemburu kekayaan sekitar tahun 1848 untuk menetap di kawasan tersebut.
Ledakan ekonomi dan sumber galian itu membawa pertambahan sekitar 40,000 pelombong Cina menduduki kawasan itu pada waktu itu.
Nama Larut itu sendiri berasal dari gajah milik Long Jaafar, orang Melayu pertama yang menemui kehadiran bijih timah di kawasan tersebut.
Lebih 170 tahun kemudian, kemeriahan yang dinikmati itu tidak lagi dirasai, sebaliknya penduduk di kawasan yang dikelilingi ladang kelapa sawit itu masih mengharapkan pembangunan.

Mengulas lanjut, pengundi itu menjelaskan tuntutan untuk merasai pembangunan itu membuatkan mereka lebih percaya pada Hamzah berbanding lambang parti.
“Saya tak kira parti politik mana, cuma kita nak orang yang boleh buat pembaharuan di sini. Yang kita nampak Hamzah berkaliber dan berkemampuan, rakyat letakkan kepercayaan 100% di tangan dia.
“Parti lain mungkin saya tak nampak ada apa yang Hamzah ada. Itu kelebihan dia, kami harap Hamzah fokus kepada benda itu,” katanya.
Hamzah calon paling tua berbanding kesemua lawannya iaitu Mohd Shafiq Fhadly Mahmud (BN), Zolkarnain Abidin (PH), dan Awzey Fazlan Sahidi (Pejuang).
BN pada awalnya menamakan penceramah bebas Kazim Elias sebagai calon kawasan itu namun ditukarkan beberapa jam selepas diumumkan.
Kempen Hamzah di Larut dilihat lebih tertumpu dalam kumpulan kecil ke kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) seperti yang diperhatikan di Kubu Gajah.

Ceramah kelompok itu di hadapan kira-kira 100 orang yang hadir dengan memakai baju tertera logo PN, dan jaket dengan akronim DSHZ, merujuk nama dan gelaran dimiliki Hamzah.
Selain golongan muda yang berebut-rebut untuk merakam swafoto bersama Hamzah selepas menanti hampir dua jam sebelum ketibaan menteri itu, terdapat juga hadirin yang berkopiah.
Dalam ucapannya, Hamzah mempromosi PN sebagai gabungan amanah dan berintegriti untuk membawa perubahan kepada negara.
“Kita nak pemimpin ikhlas, beramanah, dan integriti, kalau nak pemimpin amanah ini kita kena ikhlas, bertanggungjawab, kita buat kerja kerana apa, masa depan kita.
“Kita tak mahu pemimpin yang fikir kumpulan mereka sahaja, yang berkepentingan…. Saya nak maklumkan kenapa tubuh PN, kerana kita nak kumpul pemimpin yang tak dipersoal integriti mereka,” kata Hamzah. – 16 November, 2022.
Komen