Pakatan lancar manifesto PRU14 Khamis ini


Kamles Kumar

Manifesto Pakatan Harapan untuk PRU14 setebal 130 halaman akan dilancarkan pada Khamis ini, kata Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Dr Rais Hussin pada sidang media hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Mac, 2018.

PAKATAN Harapan (PH) akan melancarkan manifestonya untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Khamis ini.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Dr Rais Hussin berkata manifesto 130 halaman itu sepatutnya dimuktamadkan hari ini dan akan dilancarkan di Shah Alam pada Khamis.

“Kami bercakap tentang perubahan yang tulen. Penjagaan kesihatan untuk rakyat. Kaji selidik menunjukkan rakyat sangat bimbang tentang kesihatan. Lebih 96% bimbang tentang kos sara hidup dan pengangguran.

“Perkara ini yang akan ditangani dalam manifesto kami. Ia akan menjadi manifesto yang lengkap, pragmatik dan praktikal,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu hari ini.

Beliau berkata manifesto itu akan menumpukan kepada perubahan institusi dalam usaha PH mengambil alih Putrajaya.

“Institusi yang demokrasi sudah diperkosa sepenuhnya. Ia digunakan hanya untuk berkhidmat kepada satu orang saja. Ia tidak boleh digunakan untuk seseorang atau sesebuah parti politik. Kami mahu mengembalikan institusi yang demokrasi.”

Rais yang juga ahli jawatankuasa manifesto PH berkata terdapat 100 janji yang ditawarkan gabungan pembangkang itu.

Daripada 100 janji berkenaan, PH akan menunaikan 10 dalam tempoh 100 hari pengambilalihan kerajaan.

“Kita tunggu 8 Mac. Manifesto 130 halaman. Kami akan penuhi 10 janji dalam tempoh 100 hari. Semuanya hasil daripada kaji selidik,” kata Rais.

Rais berkata selepas PH melancarkan manifesto itu, beliau juga mempelawa Barisan Nasional (BN) untuk membahaskan dasar dalam manifesto berkenaan.

“Kami mengajak pasukan manifesto BN untuk berdebat dengan kami. Kami boleh sediakan lokasi untuk debat itu,” katanya. – 5 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen