Mampukah PH menang di tengah PN, BN kalut


Faisal Tehrani

PERSOALAN sekarang gabungan parti manakah yang akan dipilih oleh para pengundi Malaysia menjelang 19 November 2022 kelak?

Di tengah kecamuk Umno memasuki Pilihan Raya Umum-15 (PRU15) dalam keadaan amat tidak bersedia, serta saling salah menyalahkan; Perikatan Nasional (PN) pula diselaputi ekstremisme dan ketidakseragaman suara.

Kedua-duanya sebahagian daripada kerajaan campuran yang dibentuk setelah mereka merampas mandat rakyat pada 2018.

Minggu pertama kempen menunjukkan betapa huru-haranya blok Barisan Nasional (BN) khusus Umno. Calon Barisan Nasional di Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menimbulkan tanda tanya dan teka-teki apabila beliau berbalas kenyataan dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi di media.

Khairy malah menggelar diri sendiri sebagai “reformis Umno”, selain mendakwa parti itu sudah “sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan”.

Pendekatan kempen beliau untuk menjarakkan diri daripada Presiden Umno, dan mengundang Perdana Menteri sementara Ismail Sabri Yaakob berkempen untuknya mungkin berkesan, tetapi mungkin juga tidak. Ia sangat berisiko.

Memang pelbagai survei rata-rata menunjukkan Ahmad Zahid bukan tokoh yang popular dan diingini, akan tetapi Ismail Sabri juga dilihat sebagai tidak cukup menginspirasikan.

Kenyataan Khairy mengenai Umno sebetulnya menghantar mesej yang salah lagi mengelirukan kepada pengundi di Sungai Buloh yang ternyata tidak berminat dan bersedia untuk terheret dalam konflik parti tersebut.

Pengundi Sungai Buloh malah bertanya, mengapa pula kami dibawa masuk ke dalam “kesesatan” Umno? Ia malah menjadikan slogan Kestabilan dan Kemakmuran yang dipelopori oleh Barisan Nasional sebagai satu jenaka murahan.

Di pihak Perikatan Nasional pula, PAS seperti biasa memulai pendekatan ekstrem memburuk-buruk dan menfitnah parti lawan, khusus mereka yang bukan beragama Islam. Pendekatan ini amat mencederakan diri mereka sendiri.

Terdapat aktivis parti mereka yang berkempen menghukum pengundi yang enggan mengundi parti selain PN sebagai masuk neraka. Selain itu seorang aktivis lain mengeluarkan kenyataan mahu menyembelih mereka yang bukan Islam.

Menteri Besar Kedah, Sanusi Md. Nor pula memperlekehkan calon wanita dari parti lawan. Kenyataan seksis beliau menimbulkan kecaman ramai calon wanita dari pelbagai parti.

Kempen PN yang kucar-kacir itu juga dihidu apabila Muhyiddin Yassin selaku poster boy PN untuk jawatan perdana menteri terpaksa menyanggah kenyataan dibuat Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, bahawa PN sedia bergabung sekali lagi dengan BN untuk membentuk kerajaan campuran.

Pengakuan tokoh PAS ini menjadi tanda yang PAS mungkin sahaja bersedia meninggalkan Bersatu untuk terus berkendak pula dengan BN. Ia juga memberi isyarat kepada pengundi bahawa rakyat akan sekali lagi diperdaya dan diberi bakal menteri dengan wajah sama.

Menteri-menteri tersebut kelihatan tiada solusi sebelum ini, dibayar dengan gaji lumayan; maka itulah juga yang akan rakyat perolehi selepas PRU15, sekiranya Pakatan Harapan (PH) dinafikan angka majoriti untuk membentuk kerajaan.

Harus disebut di sini, dalam pelbagai survei berjalan, imej BN amat buruk dan kesediaan PN untuk sekali lagi melakukan ‘zina politik’ memberi petunjuk kedua-dua gabungan ini tidak boleh dipercayai.

Di tengah kecamuk dan kelam kabut khemah lawan itu, PH nampaknya menunjukkan kesatuan dan daya saing yang kuat. Akan tetapi adakah itu memadai untuk PH yang mencadangkan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri?

Ini kerana tinjauan di pelbagai kawasan yang majoriti pengundinya Melayu menunjukkan mereka tidak begitu berganjak atau terjejas dengan ketamakan dan kerakusan pemimpin Melayu.

Pengundi Melayu di pedalaman nampaknya cepat klimaks dengan seratus dua di sebalik jabat tangan, selain cepat puas syahwat politik mereka apabila menonton video di TikTok yang memburukkan calon PH. Keburukan itu semata-mata adalah kerana PKR dan Amanah didakwa bersekongkol dengan DAP.

Sebagai contoh pengundi-pengundi yang saya temui di Bagan Serai, Perak dengan mudah memakan taktik kempen untuk memilih calon PN, Idris Ahmad berbanding calon PH Siti Aishah Shaik Ismail.

Seorang pengundi wanita yang saya temui di pekan Bagan Serai memberitahu dia tidak mahu ahli parlimen perempuan kerana mereka tidak sesuai memimpin. Pengundi tersebut memberitahu, beliau mendapat mesej ini dalam kempen yang dibawa ke kampungnya oleh aktivis PAS. Hal ini sangat menjengkelkan memandangkan PAS dalam tahun 2018 meletakkan Rohaya Bakar, seorang wanita.

Pengundi lain yang saya tanyakan di pekan Selinsing pula menolak PH dengan alasan terdapat “parti Cina” dalam gabungan parti itu. Apabila saya menunjukkan secara baik perbandingan agihan kerusi parlimen mengikut komposisi kaum, pengundi ini kelihatan tersentak.

Ternyata beliau tidak menyedari bahawa gabungan PH memperuntukkan hanya 33 kerusi untuk calon berbangsa Cina dan India 14. Manakala dibandingkan dengan BN terdapat 41 peruntukan untuk kerusi Cina dan 15 India, serta PN yang diwakili 23 Cina dan 8 India.

Campuran kerajaan BN dan PN (kelak) malah tidak pun memberi citra Melayu sentrik seperti dihujahkan.

Lebih mengecewakan ialah responden yang saya temui ini baru sahaja keluar bermuamalah dari sebuah kedai milik seorang berbangsa Cina.

Ia menjadi isyarat betapa buruknya hubungan kaum di negara ini gara-gara tingkah laku pemimpin PN dan BN yang tidak sedar mereka sedang merosakkan Malaysia untuk masa akan datang.

Kenyataan di atas mempamerkan bahawa pengundi di bawah tidak pun merasai ketamakan dan keserakahan yang ditunjukkan oleh pemimpin Melayu.

Itulah sebabnya pimpinan PN dan BN boleh melakukan persenyawaan berkali-kali baik dalam terang dan gelap, lantas kekal diampunkan oleh pengundi.

Meskipun mempunyai jentera yang baik dan agak berdisiplin PH masih terpaksa melawan momok masa lalu yang dipantakkan oleh parti-parti lawannya. Momok lampau ini berjalan dan berfungsi sendiri tanpa perlu dipantau. Sekali-sekala seperti api atau bara ia perlu dicurahi minyak. Pasti menyala.

Cuma api ini boleh membesar menjadi kancah dan konflik kaum dan agama yang dahsyat jika tidak ditangani.

Di tengah rumba api membesar inilah Pakatan Harapan berusaha memadamkan unggunan api yang makin marak itu. Mereka cuba meletakkan harapan ada yang menyedari taktik kotor lawannya yang sedang bercakaran. Mereka melaung-laung “Kita Boleh”.

Akan tetapi adakah pengundi di 70 kerusi yang majoritinya Melayu, betul-betul ingin mendengar? – 15 November, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen