Kerusi Parlimen Batu jadi medan pertikaian Tian Chua-Prabakaran


K. Kabilan

Tian Chua berkata beliau hanya mahu lunaskan janji kepada pengundi Batu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2022.

PERTIKAIAN berterusan antara dua pencabar utama kerusi Parlimen Batu - Prabakaran daripada Pakatan Harapan (PH) dan calon bebas Tian Chua, mengalih perhatian terhadap pertembungan 10 penjuru di situ.

Mendakwa mewakili reformis asal PKR, Tian Chua berkata semasa kempennya yang penyandang Prabakaran gagal melaksanakan ideologi PKR sebagai ahli Parlimen.

Beliau turut mengkritik Prabakaran kerana berdiam diri di Parlimen walaupun mempunyai rekod kehadiran yang baik.

Bekas ahli Parlimen Batu dua penggal itu menambah Prabakaran gagal memenuhi janjinya untuk melepaskan kerusi itu supaya beliau (Tian Chua) boleh bertanding semula.

Sebaliknya, Prabakaran - yang pada pemilihan PKR Mei menewaskan Tian Chua untuk menjadi ketua PKR Batu - membalasnya dengan berkata beliau bertindak melawan kehendak parti dan Anwar Ibrahim dengan bertanding sebagai calon bebas.

Beliau berkata dengan berbuat demikian, Tian Chua menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.

Beliau juga berkata bahawa dakwaan Tian Chua yang “satu undi untuk saya (Chua), adalah satu undi untuk Pakatan” mengelirukan pengundi, terutamanya penyokong gabungan itu. 

“Kenyataannya mengelirukan pengundi dan menghalang PH daripada menang dan menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri,” katanya dipetik Malaysiakini.

Tian Chua hari ini membalas dakwaan ini, menggesa Prabakaran menunjukkan bukti beliau menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.

Beliau juga berkata gambaran besar politik adalah terlalu hebat untuk difahami oleh Prabakaran.

“Ia sebenarnya bukan tahap beliau untuk menangani dinamik kompleks membentuk kerajaan atau memilih perdana menteri.” – 15 November, 2022.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen