Pengundi positif Covid-19 diasingkan, proses mengundi dilakukan cepat, kata SPR


Individu yang positif Covid-19 perlu memaklumkan kepada pegawai KKM mengenai status kesihatan sebelum hadir ke pusat mengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2022.

INDIVIDU positif Covid-19 yang mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diasingkan daripada pengundi lain bagi mengelak risiko penularan.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azmi Sharom berkata selain itu SPR juga akan memastikan proses mengundi bagi pengundi positif Covid-19 di pusat pengundian di seluruh negara, akan dilakukan dengan cepat.

Beliau berkata mereka yang positif perlu memaklumkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai status kesihatan sebelum hadir ke pusat mengundi. 

“Mereka (KKM) akan asingkan pengundi positif dan anda akan undi dengan cepat dan kita juga akan asingkan anda daripada pengundi lain,” katanya mengulas mengenai proses mengundi untuk individu positif Covid-19 pada hari undi awal hari ini dan pengundian PRU15 pada 19 November.

Beliau yang ditemui pemberita selepas meninjau proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berkata proses undi awal di tempat itu berjalan dengan lancar.

“Semua nampak berjalan lancar jadi ia petanda yang baik, ramai orang keluar, kita akan buka (pusat undi awal) sampai pukul 5 petang…harap semua akan ok,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata seorang anggotanya disahkan positif Covid-19 dan diarahkan mengundi pada sebelah petang. 

“Kita telah jelaskan untuk datang petang kerana kalau waktu pagi agak sesak,” katanya menambah proses undi awal di IPD Putrajaya ketika ini berjalan lancar.

Seramai 1,386 pengundi awal Parlimen Putrajaya terdiri daripada anggota polis dan tentera menunaikan tanggungjawab mengundi di dua pusat pengundian di IPD Putrajaya dan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas) di Putrajaya bermula 8 pagi hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata individu positif Covid-19 yang akan mengundi pada PRU15 wajib memakai pelitup muka manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.

Selain itu, Noor Hisham memaklumkan pengundi positif Covid-19, tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk perkhidmatan e-hailing. – Bernama, 15 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen