Ismail Sabri beri sokongan kepada Khairy di Sungai Buloh 


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika berucap pada program mesra penduduk di Uptown Damansara, Sungai Buloh malam ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 November, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob malam ini memberikan sokongannya terhadap usaha Khairy Jamaluddin untuk memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh pada program ramah mesra bersama penduduk di kawasan itu bersama ahli partinya.

Dalam program yang diadakan di Uptown Damansara, diiringi Khairy, Ismail turut berkempen untuk menteri kesihatan itu ketika beliau bertemu dengan peniaga dan pengusaha kedai makan Melayu dalam usaha mengumpulkan undi Melayu di kawasan itu.

Bagaimanapun, Ismail tidak berada lama di situ dan beredar selepas 30 minit untuk memberi sokongan kepada seorang lagi calon Barisan Nasional Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menteri kewangan itu membuat penampilan sulung dalam pilihan raya di kerusi Parlimen Kuala Selangor.

Bagaimanapun dalam satu ucapan ringkas, Khairy berkata tiada yang mustahil kerana beliau meletakkan sasaran untuk memenangi Sungai Buloh Sabtu ini.

Menteri Kesihatan berkata beliau tidak sabar untuk mula berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu dan akan melakukan yang terbaik sambil menambah beliau juga akan menjadi perdana menteri pertama dari Sungai Buloh.

“Tiada yang mustahil, kita perlu berani melakukan perubahan, jika saya boleh memulakan tugas saya sebagai ahli Parlimen saya lebih suka lakukannya sekarang.

“Kerana saya telah jatuh cinta dengan Sungai Buloh. Saya akan menjaga Sungai Buloh dengan sekuat tenaga dan saya percaya, angin perubahan boleh bermula dari sini.

“Biar saya menjadi ahli Parlimen anda sekarang dan suatu hari nanti saya boleh menjadi perdana menteri anda,” kata Khairy dengan yakin.

Khairy yang merupakan bekas ahli Parlimen Rembau akan berdepan calon PKR Ramanan Ramakrishan.

Calon Barisan Nasional kerusi Parlimen Sungai Buloh Khairy Jamaluddin sempat beramah mesra dengan pengunjung di Uptown Damansara, malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 14 November, 2022.

R. Sivarasa dari PKR pertama kali memenangi kerusi Subang pada pilihan raya umum 2008 dan mempertahankannya pada pilihan raya umum 2013. Selepas kawasan itu dinamakan Sungai Buloh, beliau memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lalu dengan majoriti yang menakjubkan iaitu lebih 26,000 undi.

Kerusi Parlimen Sungai Buloh akan menyaksikan tujuh calon bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Calon lain yang turut bertanding di kerusi itu adalah Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional-PAS), Mohd Akmal Mohd Yusoff (Gerakan Tanah Air-Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia), Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff (Bebas) dan Nurhaslinda Basri (Bebas).

Khairy bagaimanapun mengakui bahawa beliau berdepan cabaran sukar di Sungai Buloh.

“Ini adalah gelanggang yang sukar bagi saya, saya dihantar ke tempat yang sukar tetapi jangan kita fikirkan tentang orang lain. Jika anda mengundi saya, saya akan membayar hutang anda.

“Jangan dengar mereka yang mengatakan undi untuk saya adalah undi untuk orang lain,” katanya kepada orang ramai.

Pemerhati sebelum ini berkata Umno cuba membunuh karier politik Khairy dengan mencalonkannya sebagai calon kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Pakar politik bersetuju bahawa beliau hampir tidak mempunyai peluang untuk menang di kubu kuat PKR pada 19 November.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa Khairy mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang jika beliau dinamakan sebagai calon di Kuala Pilah, Negeri Sembilan atau di Tanjong Karang, Selangor yang majoriti pengundinya adalah Melayu.

Khairy meragui masa depan politiknya baru-baru ini apabila beliau berkata beliau telah ditolak keluar dari Rembau oleh Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, yang berminat untuk mengukuhkan kedudukannya di Negeri Sembilan.

Beliau juga mendedahkan bahawa beliau tidak bersedia untuk menerima tawaran (untuk bertanding di Sungai Buloh), tetapi tidak ada pilihan lain.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang berkata Khairy mahu bertanding di Sungai Buloh dan sebab itu beliau diletakkan di kubu kuat Pakatan Harapan (PH). – 14 November, 2022.
   
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen