Kajian hanya pandangan, Muhyiddin yakin pertahan kerusi Pagoh


Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin yakin akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh yang ditandinginya pada PRU15.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2022.

BERBEKALKAN pengalaman 40 tahun sebagai Ahli Parlimen Pagoh, penyandangnya, Muhyiddin Yassin, yakin dapat mempertahankan kerusi berkenaan buat penggal ketujuh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Mengulas mengenai ramalan kekalahanya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata beliau memahami denyutan nadi masyarakat di kawasan berkenaan yang berdoa dan mengharapkan dirinya diberi kemenangan.

“Saya yakin dan percaya sebahagian besar daripada pengundi Pagoh, tidak kira Melayu, Cina, India, Orang Asli akan membantu dan menyokong saya meneruskan peranan saya sebagai Ahli Parlimen di Pagoh.

“Apa pun ramalan, tak apalah. Itu (kajian) pandangan,” katanya bekas perdana mernteri itu pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PN, di ibu pejabatnya, di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Barisan Nasional (BN), Shabery Cheek dilaporkan berkata satu dapatan kajian menjangkakan Muhyiddin kemungkinan kalah di Pagoh dan Azmin Ali akan diangkat sebagai calon perdana menteri bagi PN.

Pada PRU15, Muhyiddin akan menghadapi pertandingan tiga penjuru, bertemu calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Ahli Parlimen Muar, Razali Ibrahim dan calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR, Iskandar Shah Abdul Rahman.

Muhyiddin, yang menjadi Ahli Parlimen Pagoh sejak 1978 kecuali pada 1986 dan 1990 apabila beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang, memenangi kerusi Parlimen Pagoh pada PRU lepas dengan majoriti 6,927 undi, sekaligus menewaskan calon PAS, Ahmad Nawfal Mahfodz dan calon BN, Ismail Mohamed.

Sementara itu, Muhyiddin merayu agar semua pengundi awal untuk menunaikan kewajipan mereka pada hari pengundian awal esok kerana peratusan keluar mengundi yang tinggi akan membantu semua parti terutama PN pada PRU15.

Presiden Bersatu itu berharap pengundi awal membuat perbandingan antara calon dan parti serta menyokong PN berdasarkan manifestonya yang turut menyentuh kebajikan penjawat awam termasuk kenaikan kadar elaun sara hidup (Cola) penjawat awam sebanyak RM100.

Beliau juga berkata PN telah menyusun strategi untuk tempoh kempen yang memasuki minggu kedua termasuk mengenal pasti kawasan, kategori pengundi dan komuniti untuk didekati bagi meraih undi sekali gus memenangi PRU15. – Bernama, 14 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen