Penyandang Sungai Siput dakwa ditawarkan wang, jawatan untuk keluar PKR pada 2020


Ravin Palanisamy

Calon Pakatan Harapan untuk Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam berkata beliau bukan seorang yang akan khianati parti walaupun pernah ditawarkan RM10-20 juta dan jawatan menteri ketika Langkah Sheraton pada 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2022.

CALON Pakatan Harapan (PH) untuk Parlimen Sungai Siput Kesavan Subramaniam hari ini mendakwa beliau ditawarkan sejumlah wang dan jawatan menteri supaya meninggalkan PKR pada 2020 semasa Langkah Sheraton.

Katanya, beliau dijemput keluar parti bersama 11 lagi ahli Parlimen PKR yang berpaling tadah tetapi beliau tidak berbuat demikian.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti orang yang membuat tawaran kepadanya.

Pembelotan 11 individu serta penarikan diri Bersatu telah menyebabkan kerajaan PH jatuh selepas 22 bulan jadi kerajaan.

“Apabila Langkah Sheraton berlaku, 11 ahli parlimen mengkhianati PKR, di mana Bersatu juga mengkhianati PH dengan keluar untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN),” kata Kesavan pada ceramah di Sungai Siput, Perak hari ini.

“Pada masa itu, ada pemimpin yang ajak saya berpaling tadah dan beritahu saya boleh dapat jawatan menteri atau timbalan menteri.

“(Mereka kata) jika saya tidak mahu kedua-duanya, mereka akan tawarkan saya RM10 atau RM20 juta.

“Mereka cuba pengaruhi saya tetapi saya tidak khianat parti. Saya tidak akan mengkhianati PH dan saya tidak akan mengkhianati rakyat Sungai Siput yang menyokong saya pada 9 Mei 2018,” katanya.

The Malaysian Insight telah menghubungi Kesavan untuk bertanya sama ada beliau akan mempertimbangkan untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaannya. Setakat ini beliau masih belum berikan jawapan.

Anwar Ibrahim turut membidas calon MIC-BN Sungai Siput S.A Vigneswaran dan partinya kerana gagal menangani isu-isu mendesak yang melibatkan orang ramai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 14 November, 2022.

Pada Februari 2020, 11 ahli parlimen PKR berpaling tadah kepada Bersatu melalui Langkah Sheraton, yang menyaksikan kejatuhan kerajaan PH.

Antara yang keluar PKR ialah Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin, Saifuddin Abdullah, Baru Bian, Kamaruddin Jaafar, Mansor Othman, Rashid Hasnoon, Santhara Kumar, Ali Biju, Willie Mongin dan Jonathan Yasin. Empat daripada mereka diangkat menjadi menteri dalam kerajaan baru PN.

Dakwaan Kesavan dibuat hanya beberapa hari selepas penyandang Batu P. Prabakaran, juga dari PKR, mendakwa beliau ditawarkan sejumlah wang untuk menyertai MIC.

Menyifatkan situasi itu sebagai ujian, Kesavan berkata beliau berjaya mengatasinya, menambah yang beliau tidak pernah gila kuasa, kedudukan atau wang.

“Saya bukan jenis yang kejar jawatan atau wang.

“Syukur saya lulus ujian itu dan saya bangga kerana sebagai ahli parlimen Sungai Siput, saya berjaya pertahankan maruah saya dengan tidak berpaling tadah untuk penuhi hasrat politik saya,” katanya.

Ceramah itu turut dihadiri pengerusi PH dan calon perdana menteri Anwar Ibrahim. Beliau disambut oleh kira-kira 3,000 orang di kawasan itu walaupun hari ini hari bekerja.

Anwar menarik perhatian pengundi dengan berkata beliau akan menjadi perdana menteri untuk semua kaum dan akan menangani inflasi, kenaikan kos sara hidup serta isu rasuah.

Anwar turut membidas calon MIC-BN Sungai Siput S.A Vigneswaran dan partinya kerana gagal menangani isu-isu mendesak yang melibatkan orang ramai.

“Adakah Vigneswaran atau MIC bercakap tentang kenaikan kos sara hidup dan kenaikan kos barangan? Adakah beliau bersuara menentang kerajaan dalam isu ini?

“Jadi kenapa awak nak undi dia? Sebab dia orang India? Kesavan juga orang India,” katanya kepada orang ramai.

Di Sungai Siput, Kesavan bertanding tujuh penjuru di mana beliau akan menentang Vigneswaran, G. Irudianathan dari PN, Ahmad Fauzi Mohd Jaafar dari Gerakan Tanah Air dan tiga lagi calon bebas. – 14 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen