Satu lawan satu di Kinabatangan tidak jejas peluang menang, kata Bung Moktar


PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin melihat situasi satu lawan satu di kerusi Parlimen Kinabatangan tidak akan menjejaskan peluangnya untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bung Moktar yang juga penyandang kerusi parlimen itu selama enam penggal berkata keyakinan untuk menang itu bersandarkan kepada komitmen, gerak kerja serta sentuhan rakyat yang dilakukan dirinya, bersama jentera di parlimen itu.

“Walaupun ketika ini saya tidak ada di kawasan tetapi kempen tetap berjalan, saya tetap yakin penduduk Kinabatangan tahu menilai mana kaca, mana permata, mana emas, mana pasir.

“BN akan terus mempertahankan kemenangan di Parlimen Kinabatangan,” katanya kepada pemberita selepas program bersama calon BN bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Semporna iaitu Abd Aziz Mohd Ibno hari ini.

PRU15 di Parlimen Kinabatangan menyaksikan, Bung Moktar dicabar calon wanita diketengahkan Warisan iaitu Mazliwati Abdul Malek.

Sementara itu Bung Moktar berkata DUN Bugaya perlu dipimpin oleh wakil rakyat daripada parti kerajaan bagi membolehkan kawasan itu mendapat limpahan pembangunan infrastruktur serta ekonomi, dengan penduduknya perlu memilih pada 19 November ini untuk bersama kerajaan negeri demi manfaat penduduk.

“Peluang ini kalau tidak diambil pengundi DUN Bugaya, Semporna ini adalah kerugian besar bagi rakyat kerana Sabah dipimpin kerajaan Gabungan Rakyat Sabah bersama BN,” katanya.

Sementara itu Abd Aziz ketika berucap mengusulkan beberapa perkara kepada kerajaan negeri untuk diteliti antaranya mempercepatkan penyusunan semula perumahan di Kampung Bangau-Bangau serta Kampung Simunul selain memohon kerajaan untuk meningkatkan capaian telekomunikasi di DUN Bugaya.

Seramai 32,761 pemilih berdaftar direkodkan di DUN Bugaya. Ia melibatkan pertandingan enam penjuru antara Abd Aziz, Jamil Hamzah (Warisan), Karil Pg Kuraini (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Arastam Pandorog (Pakatan Harapan), Jufazli Shi Ahmad (Bebas) dan Nazmawati Walli (Pejuang), pada 19 November ini. – Bernama, 13 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen