Anwar tak akan jadi PM selagi bersama DAP, kata Muhyiddin


Ravin Palanisamy Mohd Farhan Darwis

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Program Jelajah PN BEST di Tambun, Perak malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 14 November, 2022.

SELAGI Anwar Ibrahim bekerjasama dengan DAP selagi itulah pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tidak akan jadi perdana menteri, kata Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa perkara itu diberitahunya sendiri kepada Anwar dalam satu pertemuan pada 2020, selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri.

“Saya kata you takkan jadi perdana menteri kerana orang Melayu akan tolak you selagi you bersama-sama DAP.

“Saya bercakap terus-terang, tapi hari ini masih dekat sini (Tambun) dengan harapan yang cukup menggunung tinggi, mudah-mudahan dia akan menang lawan Datuk Peja (Ahmad Faizal Azumu). Poorah…” katanya ketika berucap pada Program Jelajah PN BEST di Tambun, Perak malam tadi.

Anwar yang juga presiden PKR  berdepan pertandingan empat penjuru bagi kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini.

Anwar akan ditentang calon PN yang juga penyandang kerusi itu Ahmad Faizal, calon Barisan Nasional (BN) Aminuddin Md. Hanafiah dan Abdul Rahim Tahir (Pejuang).

Dalam ucapannya semalam, Muhyiddin turut mendedahkan Anwar pada 1998 pernah menawarkan jawatan timbalan perdana menteri kepadanya.

Dr Mahathir ketika itu perdana menteri, manakala Anwar timbalannya.

“Kemudian lepas dibebaskan (dari penjara pada 2018) di panggil saya lagi. Ini cerita yang tak pernah saya cerita. Dia panggil saya ketika itu dia masih di hospital. 

“Dia kata ingat lagi apa yang saya kata pada 1998? Bila saya jadi perdana menteri, kamu jadi timbalan perdana menteri. Saya kata sudahlah Anwar, tak payahlah. 

“Bila saya jadi perdana menteri, dia datang melawat saya di pejabat saya, saya kata minta maaf Anwar, I’m the prime minister,” katanya.

Anwar sukar tadbir negara

Muhyiddin selain itu berkata Malaysia akan huru-hara jika Anwar dipilih sebagai perdana menteri kerana sudah lebih 20 tahun tidak menjadi menteri Kabinet, sukar untuknya menguruskan negara.

“Sejak bila dia jadi menteri lagi? Dah berapa lama dia keluar daripada pentadbiran kerajaan?  Kalau saya cakap dengan dia, dia kata ‘betul 20 tahun, tapi saya masih mampu jadi perdana menteri’.

“Saya tak nafikan tetapi kalau sudah 20 tahun meninggalkan pentadbiran kerajaan, nak kembali untuk duduk sebagai perdana menteri, saya fikir agak sukar kerana nak memahami dasar dan tindakan. Saya faham itu.

“Kalau tak ada pengalaman yang tertentu untuk menguruskan negara kita berhadapan dengan risiko yang besar. Kalau-kalau dengan keadaan sebegitu, masalah utama rakyat tak mungkin selesai dalam tempoh secepat yang rakyat mahu,” jelasnya.

Anwar merupakan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan semasa Dr Mahathir perdana menteri keempat. Beliau dipecat pada 1998 selepas 16 tahun berada dalam Kabinet. – 14 November, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen