BARISAN Nasional (BN) akan menurut langkah Pakatan Harapan (PH), membebaskan pimpinan parti yang dipenjara, sekiranya mereka diberi kuasa memerintah jadi kerajaan semula, dakwa Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
Sanusi mendakwa BN akan mendapatkan pengampunan bagi membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak, yang sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta, atas kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Perkara itu katanya boleh berlaku memandangkan PH pernah melakukan perkara sama, iaitu membebaskan Anwar Ibrahim sebaik mereka berjaya menjadi kerajaan di Putrajaya, pada Mei 2018.
“Langkah pertama PH (selepas memerintah ialah) keluarkan Anwar dari penjara, BN akan buat (perkara sama) keluarkan orang yang naik (motosikal) Y suku itu.
“Ada sejarah, ada jajaran baru BN akan pakat dengan Anwar. Ini rekod tak boleh dinafi,” kata Sanusi, di hadapan penyokong Perikatan Nasional (PN) di Tambun, Perak, malam tadi.
Sanusi menyertai siri kempen Jelajah PN Best malam tadi, bersama Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan calon Parlimen Tambun PN Ahmad Faizal Azumu.
Timbalan presiden Bersatu itu bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Tambun. Beliau dicabar Anwar, yang juga presiden PKR.
Anwar diberikan pengampunan penuh ketika sudah lebih tiga tahun menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh.
Beliau disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan dijatuhi lima tahun hukuman penjara.
“Dosa pertama PH adalah bebaskan banduan itu dari penjara dan sekarang mengemis di Tambun nak jadi perdana menteri,” kata Sanusi.
Dakwanya, proses pengampunan itu juga boleh dipertikaikan.

Masalah moral
Sementara itu, Sanusi berkata Anwar tidak layak menjadi perdana menteri kerana mempunyai masalah berkaitan moral.
“Nak banding Muhyiddin, beliau dipecat Umno zaman Najib kerana lawan kes 1MDB. Anwar dipecat Umno sebagai timbalan presiden dan timbalan perdana menteri, lawan kes itu, isu moral, isu akhlak.
“Hari ini dia buat ‘road show’ dia kata pasal akhlak, dia ‘out of akhlak’.
“Ini orang Tambun, sejarah akan dicatat orang Tambun kalau undi dia, oi…aku tak berani nak sebut nanti kena saman.
“Saya datang jauh dari Kedah nak menasihat, sekalian rakyat Tambun yang nak undi, jangan undi Anwar, undi Peja,” katanya, merujuk nama panggilan Faizal.
Dalam ucapannya, Sanusi turut berkata Ismail Sabri Yaakob yang dikatakan bakal calon perdana menteri BN tidak akan berjaya dilantik ke jawatan itu sekiranya gabungan itu membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ini.
Beliau melihat Umno tidak menyokong Ismail Sabri untuk ke jawatan itu.
“Kita ada tiga tokoh yang sedang kita ingin nobatkan (sebagai perdana menteri), Muhyiddin nombor satu, Ismail Sabri dan kemudiannya Anwar.
“Ismail Sabri dah tak boleh lagi (jadi perdana menteri) macam mana nak jadi, parti tak sokong, ‘poster boy’ tak jadi, tak nampak (poster Ismail Sabri)... Umno, BN dah berselerak… jadi Ismail terkeluar,” katanya.
Buat penilaian
Sementara itu, Faizal berkata rakyat Tambun perlu membuat penilaian terhadap Anwar sebelum membuat keputusan pada 19 November ini.
“Dia dah pernah dijatuhi hukuman cuma dapat pengampunan dan itu pun, seperti menteri besar Kedah sebut, kita boleh tengok juga sama ada pengampunan itu mengikut proses yang betul.
“Sekarang dia layak bertanding dan perlu lihat track record dan lihat apa yang dia lakukan dan lihat sama ada dia betul-betul bermoral untuk diangkat sebagai pemimpin utama negara,” katanya, kepada pemberita.
Selain Anwar dan Faizal, Parlimen Tambun turut ditandingi dua lagi calon iaitu Ketua Umno Bahagian Tambun, Aminuddin Md Hanafiah dan calon Pejuang Abdul Rahim Tahir.
Faizal menang kerusi Parlimen Tambun pada PRU14 ketika Bersatu berada dalam PH. – 14 November, 2022.
Komen