SEBANYAK 2,234 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam, turun sedikit berbanding 2,882 kes yang dicatat kelmarin, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).
Ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan dalam negara kini mencecah 4,948,817 kes, menurut data KKM di laman web CovidNow.
Angka harian semalam paling tinggi di Selangor iaitu 957 kes, diikuti Sabah (188) dan Kuala Lumpur (176).
Manakala di Melaka sebanyak 135 kes direkodkan, Negeri Sembilan (122), Perak (106), Kedah (90), Kelantan (84), Sarawak (82), Pahang (55) Johor (53), Terengganu (23), Putrajaya (17), Labuan (9) dan Perlis (3).
Semalam juga dua kematian akibat Covid-19 direkodkan, masing-masing satu kes di Johor dan Kedah, menjadikan jumlah kematian kini 36,548 orang sejak pandemik melanda pada Mac 2020, menurut KKM.
Jumlah kes aktif pula adalah sebanyak 29,605, dengan 27,666 individu menjalani kuarantin di rumah.
Sementara itu seramai 1,848 pesakit Covid-19 sedang dirawat di hospital dengan 91 orang ditempatkan di unit rawatan rapi. Daripada jumlah itu, 57 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan. – 14 November, 2022.
Komen