PENYANDANG kerusi Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali bakal berdepan protes senyap penyokong Barisan Nasional (BN) yang tidak boleh menerima bekas pemimpin PAS itu kini bertanding untuk parti mereka, kata pengundi di akar umbi.
Khairuddin, yang dianggap calon mewakili idea penyatuan ummah melalui kerjasama Umno dan PAS, lebih diterima dalam kalangan pimpinan tinggi namun bukan pengundi dan jentera pilihan raya.
Idea Muafakat Nasional yang dicipta di Kuala Lumpur juga tidak telus sampai ke Terengganu, negeri yang pernah jadi medan sengit pertembungan Umno dan PAS yang kesan lukanya masih dirasai sampai ke hari ini.
Bekas wakil rakyat Adun Tepoh, Muhammad Ramli Nuh yang membantu kempen Khairuddin untuk memperkenalkan calon kepada jentera BN tidak menolak protes senyap akan berlaku.
Beliau mengakui ada dalam kalangan ahli dan penyokong Umno di Kuala Nerus yang kecewa dan tidak dapat menerima seorang bekas pemimpin PAS bertanding untuk BN dalam pilihan raya.
Katanya, apa yang berlaku sekarang tidak munasabah kerana melibatkan “orang luar parti”.
“Apa berlaku sekarang ini satu suasana yang tak munasabah,” katanya.
Jelas beliau, penolakan calon oleh akar umbi biasanya kerana yang diangkat sebagai calon bukan ketua bahagian atau parti menghantar calon dari luar daerah, yang disebut calon payung terjun.
“Keadaan sekarang lagi teruk sebab pucuk pimpinan pilih calon dari pihak lawan. Orang yang bukan dalam keluarga. Maka akan timbul tanggapan dan ejekan orang mengata Umno dah kenapa, tidak ada calon lain ke… Umno tak ada calon dalam parti sampai perlu letak orang luar.
“Jadi apabila akar umbi menghadapi perkara yang tidak pernah diduga, tidak pernah terjadi, kita tidak nafi akan ada protes senyap itu,” katanya.
Sepanjang minggu pertama kempen, Khairuddin sibuk melawat pusat daerah mengundi dan cawangan Umno di Kuala Nerus untuk mendekati pengundi akar umbi.
Umno Kuala Nerus mempunyai 115 cawangan yang terletak dalam 37 pusat daerah mengundi.
“Saya kata kepada Khairuddin, seminggu ini kita tumpu sebanyak mana yang kita boleh pergi. Untuk habiskan semua agak mustahil,” katanya, yang berharap kempen mereka dapat mengurangkan protes senyap akar umbi.

Beliau tidak meletakkan bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu dalam keadaan selesa kerana kempennya sebagai calon BN juga bermula lambat.
Kuala Nerus antara kerusi yang tidak diumumkan calonnya apabila presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan calon BN di seluruh negara pada satu majlis di Kuala Lumpur pada 1 Oktober.
Pencalonan Khairuddin hanya diumumkan dua hari selepas oleh Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir, menjelang penamaan calon sehari kemudian.
“Kita dapat tahu (siapa calon) pada Khamis malam dan Sabtu sudah penamaan calon. Ada sedikit gangguan di situ,” katanya.
Namun Muhammad Ramli yakin Khairuddin tiada masalah untuk memenangi hati pengundi yang bukan ahli mana-mana parti di Kuala Nerus, sebuah kawasan pilihan raya Melayu, dengan hanya 1% pengundi bukan Melayu.
Kawasan di pinggir bandar itu didiami golongan profesional dan terpelajar, termasuk pensyarah universiti. Kuala Nerus rumah kepada dua universiti iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), sebuah institut latihan perguruan dan sebuah institut latihan milik Petronas.
Bagaimanapun kecondongan 32% pengundi muda dan yang didaftar secara automatik sukar dibaca. Peningkatan itu menjadikan jumlah pengundi Kuala Nerus bagi PRU15 sebanyak 105,952 orang.
Dalam pada itu, Muhammad Ramli berpendapat Khairuddin juga tiada masalah untuk mempertahankan kerusinya kerana lawannya tidak kuat.
Khairuddin yang mewakili Kuala Nerus dua penggal sejak 2013 dicabar timbalan pesuruhjaya PAS Terengganu Dr Alias Razak, yang juga exco kerajaan negeri bertanggungjawab atas kerajaan tempatan, perumahan, kesihatan dan alam sekitar.
Mereka disaingi Suhaimi Hashim dari Amanah untuk Pakatan Harapan dan Azaha Wahid dari Gerakan Tanah Air (GTA).
Muhammad Ramli menyifatkan Khairuddin, yang katanya terlibat dalam badan ulama dunia serta dekat dengan kumpulan akademik, bukan saingan Alias.
“Khairuddin ini bukan pemimpin biasa, hubungan beliau dengan negara luar memang hebat. Kita nak tengok kepimpinan itu dalam PAS memang susah. Kalangan profesional pensyarah pun sebenarnya ramai pergi ke arah dia.
“Walaupun ada sedikit isu mengatakan beliau lalang, kenapa ke sebelah sana, tapi itu boleh diredakan dengan penjelasan.
“Calon PAS, Alias tak sampai peringkat Khairuddin lagi. Beliau ini sebagai exco pun bermasalah, prestasi tidak begitu baik. Beliau exco yang penting tapi sepertinya gagal menjalankan tugas hingga menimbulkan rungutan,” katanya.
Bagaimanapun penganalisis politik melihat BN ada peluang baik untuk menang Kuala Nerus apabila mencalonkan Khairuddin.
Ketua penyelidik Iham Centre, Mohd Yusri Ibrahim bagaimana berkata peluang BN masih samar kerana PRU14, Khairuddin menang dengan majoriti hampir 8,500 undi daripada penyokong PAS.
Pada PRU14, Khairudin meraih 53% undi sementara lawannya terdekat Tengku Asmadi Tengku Mohamad dari BN mendapat 41% undi.
“Agak sukar juga BN nak atasi majoriti tersebut jika bergantung kepada undi terus. Buat masa ini kita tengok kempen kedua calon masih lagi hangat dan sengit,” katanya.
Yusri juga tidak menolak Khairuddin ada pengaruh peribadi yang sedikit sebanyak boleh menarik undi PAS sedia ada.
Mengenai kemungkinan akan ada protes senyap dari akar umbi Umno, penyelidik itu berkata ia bergantung bagaimana pimpinan peringkat bahagian rasionalkan jentera dan pengikut tegar mereka menyokong Khairuddin.
Ia juga bergantung sejauh mana Khairuddin dapat membawa diri bersama dengan jentera kempen Umno.
“Tapi pada hari penamaan calon, Khairuddin lepasi halangan pertama apabila penyokong Umno turut menyokongnya.
“Kehadiran agak luar biasa walaupun keputusan menamakan beliau sebagai calon diumum saat akhir,” katanya.
PN menyasarkan sapu bersih semua lapan kerusi Parlimen di Terengganu.
Pada PRU14 PAS menang 6 sementara BN menang 2. Kerusi Hulu Terengganu bagaimanapun kemudian jadi kerusi Perikatan Nasional sebagai wakil rakyatnya Rosol Wahid keluar Umno dan masuk Bersatu.
Sementara itu, pengerusi bilik gerakan di kawasan perumahan Gong Badak 4, Tengku Jalal Tengku Nara mengakui akar umbi Umno masih dalam proses berkenalan dengan Khairuddin.
Katanya, biarpun sebelum ini sukar menerima keputusan parti mengambil lawan jadi calon BN, sebahagian penyokong Umno mula faham dan menerima keadaan.
“Setakat ini tidak adalah protes yang terlalu teruk sampai tutup markas, tidak ada. Kuala Nerus markas semua masih operasi.
“Masa awal-awal itu saja yang ada sikit bantahan tapi selepas penamaan (5 Nov) akar umbi perlahan-lahan sudah boleh terima, cuma iyalah masih terkejut,” katanya. – 14 November, 2022.
Komen