BERIBU-RIBU penduduk di negeri South Australia (SA) terputus bekalan elektrik selepas ribut petir teruk melanda negeri itu.
SA merekodkan lebih 423,000 kilat pada Sabtu dengan ribut dengan angin kencang melebihi 100 km sejam serta banjir kilat, lapor Xinhua.
Sehingga pagi Ahad terdapat kira-kira 76,000 pelanggan SA Power belum mendapat bekalan elektrik dengan beberapa kawasan menyatakan mereka perlu menunggu sehingga Isnin sebelum perkhidmatan dipulihkan.
Perkhidmatan kecemasan negeri (SES) menerima lebih 1,000 panggilan untuk bantuan antara pagi Sabtu dan Ahad.
Satu “siklon mini” dilaporkan melanda Adelaide Hills menumbangkan pokok dan merosakkan rumah.
Penduduk Kristen Stevens, 33, berkata sebatang pokok setinggi 30 meter tumbang ke atas kereta jirannya.
“Saya agak terkejut - saya tidak sangka ia akan menjadi seteruk ini,” katanya kepada News Corp Australia.
“Kereta jiran itu hampir terbelah dua. Saya tidak pernah melihat ribut seperti ini, pastinya ia adalah ribut paling teruk pernah saya alami,” katanya.
Bukit dan kawasan pinggir selatan Adelaide paling teruk dilanda ribut yang memaksa pesta muzik dibatalkan dan penangguhan acara sukan.
Di bandar Middleton di pantai selatan SA, banjir kilat menenggelamkan perniagaan dan rumah selepas tebing anak sungai pecah pada kira-kira pukul 5.00 petang waktu tempatan.
Cuaca dijangka pulih esok dengan Adelaide ibu kota SA, dijangka menerima kira-kira 10 mm hujan. – Bernama, 13 November, 2022.
Komen