Sazmi Miah kata rekodnya bersih seperti cadar putih


Salhan K. Ahmad

Machang merupakan salah satu di antara tujuh kerusi Parlimen yang akan ditandingi Bersatu di Kelantan. Enam lagi kerusi adalah Jeli, Gua Musang, Ketereh, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Mac, 2018.

KETUA Bahagian Bersatu Machang, Sazmi Miah yakin pihak lawan tidak akan dapat membangkitkan sebarang isu rasuah atau salah laku melibatkan dirinya sebagai serangan dalam kempen pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Begitu juga bagi calon lain yang akan diketengahkan oleh gabungan parti Pakatan Harapan (PH) di Kelantan, katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui baru-baru ini.

“Saya tidak ada apa-apa beban politik. Jadi mungkin mereka boleh serang saya berdasarkan personaliti sajalah.

Hanya kerana mereka tidak suka cara seseorang berpakaian pun boleh dijadikan modal politik. Contohnya, oh, tidak pernah pakai kopiah atau asyik pakai jeans saja.

“Tapi daripada segi beban politik, yang saya curi duit kerajaan, saya makan rasuah. Tidak. Saya bersih seperti cadar putih,” katanya sambil tersenyum.

Ketika menjadi setiausaha parlimen di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada 2007, beliau merupakan antara tokoh Umno yang giat membangkitkan mengenai isu pembalakan di Kelantan.

Bekas ahli Parlimen Machang itu kini bercadang untuk bertanding semula di kerusi sama, yang dimenanginya pada 2004 untuk satu penggal ketika berada dalam Umno.

Machang merupakan salah satu di antara tujuh kerusi Parlimen yang akan ditandingi Bersatu di Kelantan. Enam lagi kerusi adalah Jeli, Gua Musang, Ketereh, Pasir Puteh, Bachok dan Tumpat.

Ketua Bahagian Bersatu Machang Sazmi Miah berkata beliau tidak mempunyai beban politik dan mengakui imejnya sebersih cadar putih. – Gambar The Malaysian Insight, 5 Mac, 2018.

Sazmi yakin akan dapat memenangi kerusi Machang semula jika pengundi di situ dapat melihat bahawa Umno merupakan parti rasuah.

Katanya, itulah isu pokok yang dibangkitkannya ketika masih dalam Umno, sehingga membawa kepada pemecatannya daripada parti itu pada Oktober 2016.

Ia bermula daripada usul tidak percaya terhadap presiden Najib Razak yang diputuskan oleh Umno cawangan Lepan Simpul pada April tahun itu.

“Saya ketua cawangan waktu itu. Usul tidak percaya itu dibuat kerana pada masa itu kita diberitahu RM2.6 bilion didermakan untuk Umno, dan diambil bagi pihak Umno.

“Jadi soalannya kenapa tidak ditunjukkan dalam penyata kira-kira Umno Malaysia selama tujuh tahun berturut-turut, kerana (Najib) terima duit pada 2009,” katanya.

Orang Umno tak ada kerjaya

Pengalamannya dalam Umno juga mengajarnya bahawa budaya di dalam parti tersebut adalah rasuah.

Perkara itu dapat diperhatikan dengan jelas kerana kebanyakan penggiat parti Umno, baik daripada ketua bahagian, timbalan, ketua pemuda dan wanita tidak mempunyai kerjaya lain selain politik.

“Tidak dapat tidak, orang akan tafsirkan bahawa mereka adalah orang korup, makan rasuah sebab tidak ada pekerjaan tetap boleh beli rumah besar beli kereta baharu, hidup senang lenang,” katanya. – 5 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen