PERIKATAN Nasional (PN) juga harus diberikan kredit terhadap pencapaian pertumbuhan ekonomi negara yang positif hari ini, memandangkan ia kesan daripada langkah pemulihan yang dilaksanakan oleh kerajaan PN sebelum ini.
Bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, keupayaan PN untuk menguruskan negara terutamanya berhubung pemulihan ekonomi, tidak boleh dipandang rendah.
“Jadi bagi saya, bila ada pertumbuhan (ekonomi) memang bagus. Setidak-tidaknya kesan usaha yang kita (kerajaan PN) rancang dan usaha kita menguruskan soal Covid-19, (serta) membuka semula ekonomi secara berfasa.
“Jadi kesannya sekarang. Sebab saya kata jangan pandang rendah keupayaan PN untuk menguruskan hal berkaitan pemulihan ekonomi,” kata beliau kepada pemberita selepas sesi sembang santai bersama pusat daerah mengundi Parit Raja, Kundang Ulu dan Ladang Serampang di kedai makan di Parit Raja, Pagoh, dekat Muar hari ini.
Pengerusi PN itu berkata, langkah yang diambil oleh kerajaan ketika itu, antaranya membuka ekonomi pada waktu yang sesuai, menggalakkan pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan, sekali gus mencatat pertumbuhan tinggi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun ini.
Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) mengakui usaha pemulihan ekonomi negara sebahagiannya masih belum selesai.
Oleh itu, beliau yang mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh berkata, manifesto PN bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dilancarkan sebelum ini, penting kerana terdapat langkah tambahan yang digariskan perikatan itu sebagai usaha untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi, terutama dalam berhadapan dengan jangkaan kelembapan ekonomi global tahun hadapan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pencapaian pertumbuhan ekonomi yang luar biasa 14.2% pada suku ketiga tahun 2022.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, penamaan dirinya sebagai calon perdana menteri untuk PN bukanlah ‘bermimpi di siang hari’ seperti yang didakwa Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, tetapi sebaliknya keputusan yang dibuat pimpinan tertinggi PN.
“Takpe, dia (Ahmad Zahid) cakap mimpi siang, mimpi malam, biasalah tu. (Tetapi) kita (PN) realistik dan bukan cakap omong kosong.
“Ada asas dan ini keputusan yang dibuat oleh pimpinan PN untuk menamakan siapa dia bakal PM. Ini hendak membentuk kerajaan, (jadi) rakyat nak tahu siapa. Kita (PN) kena jelas dan bersifat telus sebab ini soal masa depan negara,” kata Presiden Bersatu itu ketika mengulas kenyataan Ahmad Zahid.
Semalam, penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu berkata, PN bermimpi di siang hari sekiranya mengharapkan Muhyiddin menjadi perdana menteri kali kedua. – Bernama, 11 November, 2022.
Komen