Pertembungan sengit Khairy dan Ramanan di Sungai Buloh


Ravin Palanisamy

Dua watak penting calon utama untuk memenangi kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15, Khairy Jamaluddin (tengah) dari BN dan calon PH, Ramanan Ramakrishnan (kanan). – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2022.

KERUSI Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertandingan tujuh penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini namun sebenarnya tumpuan diberikan terhadap saingan sengit antara Khairy Jamaluddin dari Barisan Nasional (BN) dan Ramanan Ramakrishnan dari Pakatan Harapan (PH).

Apa yang sepatutnya menjadi kerusi mudah buat PH kini bertukar menjadi pertarungan getir membabitkan menteri kesihatan sementara itu.

Sivarasa Rasiah dari PKR memegang kerusi itu sejak 2008, menang dalam PRU14 dengan majoriti undi hampir 27,000.

BN menggugurkan Khairy daripada Parlimen Rembau selepas tiga penggal, memberikan kerusi itu kepada timbalan pengerusi gabungan itu Mohamad Hasan dan sebaliknya menghantar menteri kesihatan itu ke Sungai Buloh yang ternyata kubu kuat PH.

Ramanan, bekas bendahari agung MIC menggantikan Sivarasa, yang kini dilihat sebagai underdog menentang Khairy, yang amat dikenali ramai kerana pernah berkhidmat sebagai menteri Kabinet di bawah dua kepimpinan kerajaan berbeza tetapi tidak banyak diketahui mengenai Ramanan selain pernah terlibat dalam satu saman sivil tetapi sudah selesai.

Beliau adalah cucu kepada pejuang MIC Devaki Krishnan, wanita pertama yang memegang jawatan awam di Tanah Melayu sebelum merdeka.

Calon PH itu mencetus kecoh apabila mengisytiharkan hartanya melebihi RM60 juta.

Keputusan BN meletakkan Khairy di kerusi itu menyebabkan PKR mempertimbang untuk menukar calonnya dengan mahukan nama “lebih besar” tetapi presiden parti Anwar Ibrahim berkata keputusan itu muktamad.

Selain Khairy dan Ramanan, Perikatan Nasional (PN) menamakan calon PAS Mohd Ghazali sebagai calon bagi kerusi majoriti Melayu, manakala Pejuang menamakan Mohd Akmal untuk mewakili mereka, dengan harapan dapat memperoleh undi Melayu.

Ahmad Jufliz Faiza, seorang peguam yang mewakili Parti Rakyat Malaysia berkata, beliau memutuskan untuk bertanding di Sungai Buloh khusus untuk menentang Khairy, yang didakwanya menjadi punca beberapa bentuk diskriminasi akibat dasar vaksin Covid-19.

Calon bebas, Syed Abdul Razak Syed Long Alsagoff meletakkan jawatan sebagai ahli Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sebelum memutuskan untuk bertanding di Sungai Buloh menggunakan logo kunci. Beliau juga bekas timbalan speaker Gerakan.

Nurhaslinda Basri, tokoh yang kurang dikenali, seorang lagi calon bebas bertanding di kerusi itu.

Khairy Jamaluddin dan Ramanan Ramasamy dicabar lima lagi calon bagi merebut kerusi Parlimen Sungai Buloh pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2022.

Hanya poster, sepanduk dan bendera tiga gabungan utama - BN, PH dan Perikatan Nasional (PN) mudah dilihat manakala tidak banyak yang kelihatan di kalangan parti lain serta calon bebas.

Pemimpin ternama seperti pengerusi BN Selangor Noh Omar, Annuar Musa - kedua-duanya tidak diberikan kerusi pada PRU15 oleh parti mereka - turun menyokong kempen Khairy manakala Ramanan diapit ADUN Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman dan ADUN Kota Damansara Shatiri Mansor ketika menghadiri majlis dan ‘walkabout’.

Cabaran

Sungai Buloh, yang merangkumi sebahagian Subang hingga ke Kota Damansara mempunyai hampir 160,000 pengundi berdaftar dengan hampir 67,000 daripadanya pengundi kali pertama.

Walaupun Khairy yang berkarisma dan lebih dikenali sebagai KJ, mempunyai pengalaman pilihan raya dan sebagai menteri, sokongan di Sungai Buloh mungkin tidak sepenuh memihak kepadanya.

Malah Khairy, yang mendakwa bertanding di Sungai Buloh kerana tiada pilihan lain, menyifatkan perebutan kerusi itu “paling sukar dalam karier politiknya”.

Pengundi di Sungai Buloh juga dikatakan berada dalam dilema untuk mengundi siapa - Menteri Vaksin atau Orang Kaya PKR.

Naratif pembangkang “satu undi untuk BN, adalah satu undi untuk pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi” yang akan membuka jalan kepada penyandang ahli Parlimen Bagan Datuk itu untuk menjadi perdana menteri nampaknya menjadi dalam kalangan beberapa pengundi.

Presiden Umno itu menolak dakwaan sedemikian dan berkata Ismail Sabri Yaakob akan kekal sebagai pilihan gabungan itu bagi memegang jawatan tertinggi.

Khairy menjelaskan satu undi untuknya di Sungai Buloh, secara teknikalnya adalah undi untuknya dan bukannya Zahid. Khairy juga menyokong Ismail Sabri untuk terus memimpin negara.

Dalam ucapan di Sungai Buloh baru-baru ini, Khairy yang juga bekas ketua pemuda Umno, turut berkongsi cita-citanya untuk memimpin parti dan menjadi perdana menteri suatu hari nanti.

Namun beliau menyatakan perlu memenangi pilihan raya kali ini untuk berpeluang merealisasikan cita-citanya pada masa akan datang.

Khairy Jamaluddin dilihat mempunyai karisma kerana pengalaman luas sebagai menteri Kabinet dan ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2022.

Kedua-dua calon menggariskan visi mereka bagi kawasan itu

Khairy berjanji akan meneliti perkara berkaitan pendidikan, tebatan banjir, infrastruktur dan langkah rangsangan ekonomi bagi memartabatkan penduduk Sungai Buloh.

Ramanan pula menawarkan untuk menyalurkan gaji ahli Parlimennya untuk kebajikan rakyat dan institusi agama di kawasan itu jika beliau dipilih.

Timbalan ketua penerangan PKR itu mencadangkan ‘pusat sukan super’ untuk belia, termasuk tempat bagi e-sukan.

Ramanan berkata, beliau juga akan mengkaji untuk menambah baik infrastruktur seperti keadaan jalan sedia ada yang teruk dan penstrukturan semula peniaga kecil untuk menjadikannya lebih teratur. – 12 November, 2022.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen