SUASANA seperti karnival dengan kehadiran ahli politik, mikrofon di tangan dan ucapan di pentas sementara kempen pilihan raya, mungkin kurang di Sarawak, melihatkan kepada trend berkempen yang ditunjukkan kebanyakan calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Polis telah meluluskan ratusan permohonan untuk mengadakan ceramah setiap malam tetapi kehadiran orang ramai dilaporkan berkurangan.
Pegawai perhubungan media polis bagi PRU15, Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata semalam polis telah meluluskan 265 permohonan untuk ceramah itu dan 198 pada hari sebelumnya.
DAP adalah antara parti yang masih gemar mengadakan ceramah setiap malam namun berdasarkan pemerhatian pada jadual kempen harian calon bertanding berkemungkinan besar ia hanya padat dengan sesi walkabout bagi mendekati pengundi.
Salah seorang calon yang nampaknya kurang mengadakan ceramah dan memilih lebih banyak sesi walkabout untuk bertemu, terutamanya dengan pengundi muda, ialah penyandang Gabungan Parti Sarawak (GPS) Petra Jaya, Fadillah Yusoff.
Jadual hari ini menteri kanan kerja raya itu misalnya, menunjukkan beliau memulakan harinya dengan sesi sarapan pagi dengan pengundi muda dari DUN Tupong.
Tupong merupakan satu daripada tiga kerusi DUN di bawah Parlimen Petra Jaya. Dua lagi ialah Samariang dan Satok.
Pada sebelah petang beliau menyertai belia Kampung Semariang Lama, untuk sesi gotong royong dan senaman ringkas yang mana ia cukup baik untuk beliau berehat dengan anak-anak muda di Satok di salah sebuah kedai ais kacang kegemaran di bandar itu.
Bagaimanapun pengundi dewasa tidak dilupakan sama sekali.
Waktu untuk mereka adalah di antara sesi mendekati golongan remaja, seperti selepas solat Jumaat yang mana beliau hadir di Masjid Darul Hana di Kampung No.6 atau selepas solat Asar di Masjid Darul Ibadah di Kampung Semariang Lama.
Selepas singgah sebentar di bilik gerakannya, beliau menyempurnakan harinya dalam sesi beramah mesra dengan pejuang silat muda di gelanggang Silat Betawi Cikgu Ali di Kampung Siol Kandis.
Mendekati pengundi muda adalah keutamaan Fadillah.
Ia tidak sukar untuk mendekati golongan ini kerana 34,497 pengundi berusia 18 hingga 29 tahun merupakan majoriti daripada 109,809 pengundi di Petra Jaya.
Pengundi Undi18 yang tidak pernah mengundi seumur hidup, berjumlah 8,198 manakala 26,299 berumur 21 hingga 29 tahun.
Fadillah berkata beliau gembira dengan penglibatan dan interaksinya dengan pengundi muda sejak kempen bermula.
“Mereka nampaknya selesa dengan kami dan saya rasa mereka bersama kami,” katanya kepada pemberita selepas sarapan paginya di Rends Burger.
“Saya percaya mereka kini sedar tentang rancangan kerajaan negeri. Mereka berkata mereka telah melihat manfaatnya dan dapat merasakannya.”
Fadillah berkata, interaksinya bukan sahaja terhad kepada walkabout dan sesi bertemu dan bertanya khabar.
Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata ia juga dilakukan melalui pelbagai platform media sosial.
Kelemahan sesi walkabout dan bersemuka, yang biasanya dilakukan pada waktu pagi, adalah calon boleh berdepan dengan pengundi yang marah dan tidak takut untuk meluahkan fikiran mereka di khalayak ramai, seperti yang dialami oleh seorang calon di Bintulu baru-baru ini. – 11 November, 2022.
Komen