Padang Terap perlu menang demi orang penting Ismail Sabri, kata abang


Mohd Farhan Darwis

Presiden Parti Kuasa Rakyat Kamarazaman Yaakob menyampaikan ceramahnya di Tong Pelu, Padang Terap, Kedah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 12 November, 2022.

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob benar-benar berharap orang kanannya Mahdzir Khalid menang bergaya untuk mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Padang Terap.

Walaupun tidak hadir sendiri membantu kempen bekas anggota Kabinet itu, Ismail Sabri menghantar abangnya, Kamarazaman Yaakob, sebagai pengganti berkempen di situ malam tadi.

Presiden Parti Kuasa Rakyat itu mengiringi Mahdzir, yang tiba dari Bera, kerusi Parlimen ditandingi Ismail Sabri untuk bertemu jentera Barisan Nasional (BN) di Tong Pelu.

Tong Pelu merupakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) ke-15 yang dilawat Mahdzir dari keseluruhan 32 di seluruh Padang Terap sejak kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula Sabtu lalu.

PDM bawah DUN Pedu itu dimenangi PAS dengan majoriti tipis, 670 undi dalam PRU14.

Kawasan dikelilingi kebun getah itu terletak kira-kira 10km dari Pekan Kuala Nerang dan 3km dari Tasik Pedu. Kebanyakan penduduknya bertani.

Kamarazaman dalam ucapannya berkata, beliau ditugaskan untuk membantu Mahdzir yang digelar Tok Det memperoleh kemenangan lebih besar, kerana ia amat bermakna buat Ismail Sabri.

“Adik saya minta saya datang bukan sahaja dia yakin Tok Det akan menang tetapi menggambarkan beliau mahu pengundi Padang Terap boleh beri kemenangan lebih besar kalau dibandingkan PRU lepas.

Mahdzir menang Parlimen Padang Terap dengan majoriti 1,099 undi PRU14 yang dipuji Kamarazaman sebagai orang kesayangan Ismail.

“Tok Det adalah orang kepercayaan, Tok Det adalah pemimpin Umno yang sangat disayangi perdana menteri.

“Sebab itu dia minta saya sampaikan salam kepada pengundi Padang Terap, untuk menggembleng tenaga, bulatkan tekad supaya pada PRU nanti Tok Det dapat kemenangan besar,” katanya.

Dalam ucapan di hadapan kira-kira 100 jentera parti dan penduduk kampung itu, Kamarazaman berkata Mahdzir boleh dilantik menjadi menteri jika BN berjaya menubuhkan kerajaan lagi kali ini.

“Ini adalah permata berlian, tokoh besar yang dimiliki negeri Kedah, tiada menteri lain dari Kedah.

“Kalau ini tokoh besar, orang kepercayaan perdana menteri, tanggungjawab kita beritahu seluruh keluarga dan orang Padang Terap ini tokoh perlu diangkat, orang yang sangat dipercayai perdana menteri.

“Jadi yakinkan rakan dalam PAS dan pengundi atas pagar, Tok Det permata Kedah dan selagi mana Ismail Sabri jadi perdana menteri, Tok Det tokoh Kedah yang akan diangkat bersama beliau.”

Mahdzir Khalid berdepan saingan empat penjuru untuk mempertahankan kemenangan kerusi Parlimen Padang Terap. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 November, 2022.

Tanpa menyerang lawan daripada PAS dan Perikatan Nasional (PN), Kamarazaman membangkitkan persoalan sama ada lawan Mahdzir mempunyai keupayaan untuk dilantik ke Kabinet.

Mahdzir berdepan saingan empat penjuru dari Muaz Abdullah daripada Pakatan Harapan (PH), Nurul Amin Hamid daripada PN, dan Razali Lebai Salleh daripada Pejuang untuk mempertahankan kerusi dua penggalnya itu.

Mahdzir seangkatan dengan Ismail Sabri sebagai naib presiden Umno namun di luar kelompok pemimpin parti yang mesra dengan presiden mereka, Ahmad Zahid Hamidi.

Nasib Mahdzir dilihat baik kerana masih tercalon mewakili BN memandangkan ramai pemimpin parti yang menyertai Kabinet Ismail tersingkir daripada senarai calon bertanding PRU15.

Beberapa pemimpin yang cenderung kepada Ismail Sabri seperti Annuar Musa, Noh Omar, Zahidi Zainul Abidin, dan Shahidan Kassim tidak mendapat tempat sebagai calon.

Ia menyebabkan kalangan pemimpin ini bertanding dengan lambang PN, yang dilakukan Zahidi dan Shahidan di Perlis. Kedua-duanya kini dipecat.

Mahdzir dalam ucapannya tidak menyentuh mengenai mereka yang digugurkan itu, sebaliknya membangkitkan mengenai pengaruh PAS yang semakin pudar dalam PN.

PAS pernah menang kerusi Parlimen Padang Terap dua kali, pada PRU 1999 dan 2008 dengan majoriti tipis.

Kali ini lambang bulan, logo parti Islam itu tidak berkibar pada PRU15 kali ini, seperti kebiasaan PRU sebelumnya, kata Mahdzir.

Ini kerana PAS bertanding menggunakan logo PN, yang dianggotai Bersatu dan Gerakan serta dua parti Sabah, SAPP dan Star pada kali ini.

“Dalam kertas undi ada lambang Pejuang, BN, kemudian PH, kedudukan bawah sekali adalah PN, tetapi kali ini tidak ada lambang bulan. PAS tak bertanding. Bulan tak naik.

“Saudara kita kata dalam PAS tahun ini buat pertama kali lambang PAS tidak ada dalam kertas undi, kasihan juga orang lama-lama, lambang bulan kali ini tidak ada.

“Jadi pangkah kati sahajalah (logo dacing BN),” kata Mahdzir yang turut menegaskan Ismail Sabri kekal calon untuk dilantik menjadi perdana menteri lagi sekiranya BN menang.

Jentera BN yang ditemui The Malaysian Insight pula melihat Mahdzir berpeluang mengekalkan kemenangannya di kawasan itu.

Anggota Wanita Umno hanya mahu dikenali sebagai Mak Ngah berkata, perbezaan penerimaan daripada pengundi dapat dirasakan di kawasan itu, berbanding PRU14.

Beliau dapat mengesan perkara itu sewaktu menjalankan peranannya dalam jentera Jalinan Rakyat (JR) yang mengumpul data dan mengenal pasti pengundi sasaran.

Antara data yang dihimpunkannya melibatkan maklumat lokaliti serta menyaring pengundi tempatan dengan menentukan kumpulan mereka sama ada hitam, putih, atau kelabu.

Pengundi dalam kategori hitam tidak mengundi BN, pengundi putih kategori pengundi setia BN manakala coran pengundian pemilih kelabu pula tidak dapat ditentukan, jelasnya.

Hasil tinjauan itu jelas menunjukkan pengundi yang memilih PAS mahu kembali ke BN, kata Mak Ngah.

“Nampak gaya mereka yang kalih dulu balik semula dah kepada BN, nampak peluang cerah Tok Det nak menang lebih banyak kali ini.

“(Pengundi) kata PAS tak bawa apa-apa perubahan di Kedah masa mereka perintah.

“Dulu kalau ada program macam ini kita kena panggil anak muda datang tolong, tapi sekarang mereka yang tanya ada apa tugasan nak mereka bantu. Nampak ada perubahan sekarang,” katanya.

Kira-kira 100 jentera parti dan penduduk kampung hadir mendengar ceramah BN di Tong Pelu, Padang Terap, Kedah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 12 November, 2022.

Ketua Wanita Umno Cawangan Tong Pelu Hamidah Mohamad bagaimanapun gusar dengan kecenderungan pengundi pertama kali dan kumpulan pengundi 18 tahun ke atas.

“Banyak anak muda di sini kerja luar, di Kuala Lumpur, di Pulau Pinang. Yang mana datang tolong kita anggap mereka penyokong kita, tapi dalam hati kita tak boleh baca.

“Undi 18 ini kita tak boleh baca, tapi kalau (sokongan) mereka ikut ibu bapa mereka mungkin tidak ada masalah sangat lah. Cuma waktu hari mengundi kita tak tahulah,” katanya.

Antara pengundi yang hadir ke ceramah kelompok Kamarazaman dan Mahdzir seorang usahawan Md Lehan yang masih membuat keputusan sama ada akan memilih calon BN itu.

Usahawan yang mengeksport makanan sejuk beku ke luar negara itu mengakui sering hadir dalam banyak program anjuran Mahdzir, namun tidak menjanjikan akan memberi undi kepadanya.

“Menteri dah berapa kementerian, tetapi apa ada pembangunan di Padang Terap, tak nampak macam ada pembangunan apa pun. Pekan pun macam pekan koboi sahaja.

“Saya selalu ikut program Tok Det, tetapi undi kita tengoklah nanti.

“Padang Terap ini sukar nak dijangka, pengundinya tak suka kekalkan wakil rakyat lama-lama… PAS pun pernah ada sejarah menang di sini,” katanya.

Md Lehan juga melihat kepemimpinan Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor tidak mampu menyaingi pentadbiran Azizan Abdul Razak, menteri besar Kedah terdahulu dari PAS.

“Kedah ini belum ada siapa boleh lawan Ustaz Azizan, sekarang Sanusi pun tak mampu nak jadi macam Ustaz Azizan. Susah jugak PAS di sini,” katanya.

Beliau melihat Sanusi yang memimpin pasukan bola sepak Kedah hanya menonjol dalam drama sukan dengan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pemilik pasukan Johor.

“Sanusi sekarang asyik cari gaduh dengan TMJ saja,” katanya. – 12 November, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen