China perkemas langkah kawalan wabak 


Orang ramai menjalankan ujian calitan Covid-19 di wilayah Jiangsu, China.– Gambar AFP, 11 November, 2022.

JAWATANKUASA Tetap Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) mengadakan mesyuarat bagi meneliti laporan mengenai kawalan wabak Covid-19 di Beijing pada Khamis.

Mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan oleh Setiauaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC, Xi Jinping disusuli kajian dan pengaturan 20 langkah kawalan wabak selanjutnya.

Menurut mesyuarat itu, situasi kawalan dan pencegahan wabak masih kritikal susulan mutasi virus dan perubahan iklim.

Justeru, pihak-pihak berkaitan disaran untuk terus komited menjalankan pelbagai langkah pencegahan dan kawalan secara saintifik serta tepat.

Pelaksanaan pengaturan yang ditetapkan Jawatankuasa Pusat PKC juga perlu dilakukan secara tepat dan menyeluruh, meletakkan rakyat dan nyawa sebagai keutamaan serta melaksanakan strategi mencegah jangkitan dari luar negara dan mengawal lonjakan dalam negeri.

Antara lain yang disentuh termasuk mempertahankan dasar ‘dinamik sifar Covid’, mengawal penularan wabak sambil menstabilkan ekonomi dan menjamin keselamatan pembangunan, menyelaraskan kawalan wabak dengan pembangunan sosioekonomi, melindungi nyawa dan kesihatan rakyat, serta meminimumkan impak wabak terhadap pembangunan sosioekonomi negara.

Pihak-pihak berkaitan juga digesa menumpukan usaha memperkasa operasi memerangi wabak di kawasan penting, dan mengambil tindakan lebih tegas dalam mengawal penularan jangkitan itu.

Sementara itu, pihak-pihak terlibat perlu meneruskan kawalan secara saintifik dan tepat, meningkatkan keefisenan langkah kawalan, menganalisis dengan tepat risiko wabak, dan menyempurnakan langkah-langkah kawalan.

Pada masa sama, pihak-pihak berwajib perlu mengambil langkah yang lebih tepat dalam proses kuarantin, saringan, perjalanan penduduk, perkhidmatan perubatan, vaksinasi, perkhidmatan jaminan kawalan wabak untuk firma dan sekolah, serta bantuan kepada individu yang terjejas.

Selain itu, pemerkasaan penyelidikan vaksin dan ubat-ubatan, peningkatan keberkesanan dan sasaran vaksin dan ubat-ubatan, menjamin perkhidmatan sara hidup asas seperti rawatan perubatan, dan menambah bantuan kepada golongan lemah turut menjadi tumpuan dalam sesi mesyuarat itu. – Bernama, 11 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen