POLIS menahan seorang lelaki yang disyaki membakar Jalur Gemilang dan bendera parti PAS, berdekatan sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pasir Raja Kuala Jengai di Dungun, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Baharudin Abdullah berkata lelaki berusia 31 tahun itu ditahan pada pukul 1.30 pagi selepas pihaknya menerima laporan mendakwa suspek membakar bendera-bendera itu, yang dipaparkan dalam klip video tular di laman media sosial TikTok bernama @mohammadfarhan2953.
Katanya siasatan mendapati kejadian berlaku di tepi jalan berhampiran simpang masuk ke Kampung Pasir Raja Kuala Jengai dan aduan telah dibuat oleh ketua kampung selepas menerima kiriman video itu pada kira-kira 8.15 malam semalam.
“Pengadu menyatakan beliau kenal dengan suspek yang merupakan penduduk seorang tempatan dan mengesyaki suspek kurang siuman, atau mungkin berada di bawah pengaruh dadah. Hasil pemeriksaan di tempat kejadian mendapati terdapat sisa kebakaran kain di atas rumput di kawasan kejadian.
“(Satu rakaman) Video itu memaparkan seorang lelaki tempatan sedang membakar sehelai kain berwarna hijau dan putih menggunakan pemetik api,” katanya di Dungun hari ini.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Dungun untuk permohonan reman dan perkembangan siasatan kes akan dimaklumkan nanti,” menurutnya.
Terdahulu tular rakaman video di aplikasi TikTok berdurasi kira-kira tiga minit yang memaparkan seorang lelaki membakar Jalur Gemilang, dan satu lagi rakaman berdurasi kira-kira satu minit yang memaparkan individu sama yang membakar bendera parti PAS, baru-baru ini. – Bernama, 11 November, 2022.
Komen