KERAJAAN Sarawak sedang mengkaji kemungkinan untuk menaikkan gaji penjawat awam negeri sebagai cara memerangi rasuah, kata Premier Abang Johari Openg.
Beliau berkata langkah itu sama seperti yang diamalkan di Singapura.
“Penjawat awam tidak dibayar gaji yang mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya ketika berucap pada hari integriti Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) hari ini.
Beliau berkata tekanan kewangan yang dihadapi penjawat awam menimbulkan kecenderungan rasuah dan salah guna kuasa.
Namun Abang Johari berkata keputusan itu memerlukan kajian teliti kerana kerajaan negeri tidak boleh sesuka hati mewujudkan jawatan, sistem gaji dan faedah pencen tanpa tertakluk kepada perkhidmatan awam persekutuan.
Ini kerana semua jawatan berpencen tertakluk kepada kelulusan Jabatan Perkhidmatan Persekutuan (JPA) memandangkan ia dibayar kerajaan persekutuan, katanya.
Abang Johari berkata ia bukanlah halangan kerana beliau ada cara untuk memintas JPA.
Beliau juga membayangkan Dana Kekayaan Berdaulat boleh menyediakan dana untuk kenaikan gaji penjawat awam.
Tambah Abang Johari, semakin banyak bukti telah muncul mengenai kesan tadbir urus buruk terhadap prestasi ekonomi.
Antaranya, tambah beliau, adalah kerugian dalam hasil kerajaan, pelaburan awam dan perkhidmatan awam yang lebih rendah kualiti, pengurangan pelaburan swasta, dan hilangnya keyakinan orang ramai terhadap kerajaan. – 10 November, 2022.
Komen