Shahidan buka jalan untuk PAS kuasai Perlis


Mohd Farhan Darwis

Bekas menteri besar Perlis Shahidan Kassim berkata ia memandangkan PAS adalah parti berteraskan Melayu dan Islam.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 10 November, 2022.

BEKAS menteri besar Perlis Shahidan Kassim bersedia membuka jalan untuk PAS mentadbir negeri itu apabila PN menang pilihan raya umum 19 November.

Penyandang kerusi Arau itu memberitahu The Malaysian Insight, beliau tiada masalah untuk tujuan itu memandangkan PAS adalah parti berteraskan Melayu dan Islam.

“Tidak ada masalah (PAS mentadbir Perlis), PAS pun Bumiputera Islam,” kata Shahidan yang kini giat mempromosi perpaduan ummah, slogan penyatuan parti Islam itu dengan Bersatu dan Umno.

Shahidan menjadi calon PN di Parlimen Arau beberapa hari selepas Umno menggugurkannya daripada bertanding di kerusi yang diwakilinya sejak empat penggal bermula 1986.

Keputusannya itu menyebabkan beliau dipecat dari parti.

Kempen beliau untuk Umno terus bekerjasama dengan Bersatu dan PAS juga gagal kerana Umno memutuskan bertanding PRU15 tanpa kerjasama kedua-dua parti itu.

Shahidan percaya kelantangannya menyokong usaha perpaduan ummah menjadi alasan penggugurannya sebagai calon.

Beliau yang kini menjaga portfolio Wilayah Persekutuan dalam Kabinet Ismail Sabri Yaakob melihat keputusan Umno itu tidak selari dengan sentimen sebenar pengundi dan akar umbi.

“Saya setuju, PAS setuju perpaduan ummah, Umno pemimpin sahaja yang tidak bersetuju, tetapi rakyat bersetuju. Akar umbi Umno sokong perpaduan ummah,” kata Shahidan.

Beliau ditemui dalam majlis pengenalan calon di Guar Sanji, salah satu kerusi negeri di bawah Parlimen Arau yang dimenangi PAS dalam PRU14.

Program bersama Pengerusi PN Muhyiddin Yassin itu turut disertai kumpulan anak muda berbaju hitam dengan yang tertera gambar Shahidan dengan tulisan “DSSK”, akronim kepada namanya.

Kumpulan anak muda itu berulang kali melaungkan “Hidup Datuk Seri”, “Hidup PN”, “takbir”, berselang-seli laungan “Hidup Tan Sri”, bagi menyokong Shahidan dan Muhyiddin.

Mengulas sambutan yang ditunjukkan itu, Shahidan berkata ia menunjukkan pengaruh beliau di kalangan pengundi termasuk golongan muda lebih besar mengatasi pengaruh Umno.

“Saya tidak perlu cerita (soal sokongan), ini semua anak muda. Selama ini mereka tak kenal Umno, mereka kenal Shahidan.

“Selama lebih empat tahun mereka (Umno) tak pernah tolong saya,” kata Shahidan yang ditanya mengenai keyakinannya untuk mengekalkan penguasaan di kerusi Arau.

Matlamatnya dalam PRU15 kali ini jelas iaitu menjadikan Perlis negeri keempat dikuasai PAS, selepas Kelantan, Terengganu, dan Kedah.

Usaha itu juga bagi menamatkan dominasi BN yang tidak pernah gagal mempertahankan Perlis dalam setiap PRU, termasuk ketika gabungan itu hilang kuasa di Putrajaya.

“Insha Allah kita berdoa PN berjaya memerintah negara ini tapi yang paling penting PN akan tawan Perlis.

“Satu undi untuk PN adalah satu undi untuk perpaduan ummah,” kata Shahidan dalam ucapan ringkasnya di majlis tersebut.

Beliau tidak pernah kalah dalam setiap PRU sama ada di Parlimen mahupun kerusi negeri, malah pernah menewaskan dua mursyidul am PAS, Allahyarham Haron Din dan Hashim Jasin.

Shahidan yang menjadi menteri besar selama lima penggal tidak bertanding sebarang kerusi negeri pada kali ini, yang membayangkan beliau tidak akan kembali ke jawatan tersebut.

Bersatu juga sejak akhir September lalu menyatakan kesediaan untuk jawatan menteri besar disandang PAS, sekiranya gabungan PN berjaya menguasai Perlis.

Di sisi PAS, pengaruh Shahidan dilihat akan mewujudkan gelombang yang mampu memberi kelebihan kepada parti itu untuk memenangi negeri dengan 15 kerusi DUN itu.

Hashim Jasin melihat strategi PN menggunakan Shahidan mewujudkan gelombang yang mampu memberikan kelebihan kepada parti Islam itu.

Pengaruh Shahidan sejak lebih 30 tahun dalam politik tempatan di Perlis menjadikannya aset penting kepada PAS dalam kempen menawan Perlis, katanya.

“Saya nampak dia ramai pengikut di belakang yang setia dengan dia. Anak-anak muda ini menunjukkan dia punya penyokong yang ramai. Dia menang pun kerana akar umbi dia yang hebat.

“Sekarang apabila dia bertanding di Parlimen dengan persetujuan (PN) pusat kita juga harapkan DUN di bawah Parlimen Arau boleh bantu mencapai kemenangan,” katanya.

PN perlu menang lapan kerusi bagi memastikan kemenangan mudah untuk membentuk kerajaan, dan enam sudah dikenalpasti dari sembilan kerusi yang ditandingi mereka.

“Daripada sembilan kalau kita boleh mencapai enam menang, kalau ada Bersatu menang boleh bersama boleh bentuk kerajaan,” kata Hashim.

Beliau menjangka PAS akan mampu mengukuhkan kedudukan di Guar Sanji dan Sanglang, dua kerusi negeri dimenangi PAS pada PRU14 dengan majoriti tipis.

“Di DUN Simpang Empat PRU14 itu kita kalah, tapi kali ini orang dia akan bantu untuk menang. Di kawasan Kangar dan Padang Besar saya meyakini kita boleh menang beberapa DUN lagi.

“Di dua kawasan itu ada lagi kemenangan yang tak mustahil boleh dibentuk kerajaan selepas itu,” katanya.– 10 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen