Malaysia akan ada kerajaan penipu jika Hadi jadi PM, kata Kit Siang


Desmond Davidson

PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang dinilai oleh veteran DAP Lim Kit Siang sebagai paling teruk daripada lima yang bertanding untuk menjadi perdana menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.

Empat yang lainnya adalah Ismail Sabri Yaakob dan Ahmad Zahid Hamidi dari Barisan Nasional (BN), Muhyiddin Yassin dari Perikatan Nasional (PN) and Anwar Ibrahim dari Pakatan Harapan (PH). PAS adalah parti komponen di PN.

Lim memberitahu pemberita di Kuching, Sarawak hari ini Hadi “akan membentuk kerajaan penipu” kerana beliau mempunyai “akhlak yang lebih rendah daripada penyanyi Jamal Abdillah”.

Beliau berkata Hadi tidak menyesal kerana mendakwa DAP adalah komunis, anti-Melayu, anti-Islam dan anti-royalti.

Sambil memberi empat sebab mengapa PRU15 ini adalah yang paling penting dan kritikal dalam sejarah Malaysia, beliau berkata antaranya ialah ia akan memilih siapa antara lima yang akan menjadi perdana menteri negara ke-10.

Mengenai peluang Ismail Sabri, Lim berkata pemimpin itu sendiri tidak percaya beliau akan menjadi perdana menteri walaupun BN pimpinan Umno menang.

“Apabila Zahid berkata siapa yang akan menjadi perdana menteri akan menjadi hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan tidak boleh dipersoalkan adalah petunjuk jelas Zahid tidak berputus asa dengan cita-citanya untuk menjadi perdana menteri,” katanya.

Mengenai peluang Muhyiddin Lim berkata ia bergantung kepada parti sama ada Bersatu atau PAS yang akan memenangi lebih banyak kerusi.

Beliau bagaimanapun mengingatkan pengundi Muhyiddin adalah dalang kepada Langkah Sheraton yang menggulingkan kerajaan PH selepas 22 bulan dan “secara tidak sah” menggantung Parlimen atas alasan wabak Covid-19 kerana bimbang undi tidak percaya boleh dibentangkan di Parlimen terhadapnya.

Lim bagaimanapun menyifatkan Anwar sebagai lebih menyerlah berbanding tiga calon lain.

Lim juga mendakwa BN “tidak begitu yakin” untuk memenangi pilihan raya umum.

Beliau berkata walaupun terdapat banyak, perubahan mood politik di negara ini dengan kesedaran bahawa kembalinya kerajaan persekutuan Umno-BN di Putrajaya akan menyaksikan lebih banyak rasuah dan salah guna kuasa di Malaysia.

“Zahid menjelaskan PRU15 adalah untuk menyelamatkan pemimpin Umno-BN daripada didakwa di mahkamah kerana rasuah dan dihantar ke penjara.”

Beliau berkata ceramah manifesto BN mengenai kemakmuran dan kestabilan hanyalah sekadar cuci mata kepada agenda membebaskan pemimpin BN termasuk bekas perdana menteri Najib Razak yang menjalani hukuman penjara 12 tahun. – 9 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen