PRU15: Kerajaan gerak ATM, Rela bantu polis jika banjir, kata Hamzah


Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata bantuan daripada ATM, Rela dan pelbagai agensi lain diperlukan kerana sebahagian besar kekuatan PDRM dikhususkan untuk PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2022.

KERAJAAN akan menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pelbagai agensi lain bagi membantu Polis Diraja Malaysia sekiranya berlaku bencana banjir ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berkata bantuan itu diperlukan kerana sebahagian besar kekuatan PDRM dikhususkan untuk PRU15.

Beliau berkata di peringkat kementerian itu walaupun kira-kira 80,000 anggota polis digerakkan bagi menghadapi PRU15 lebih ramai diperlukan untuk bertugas jika berlaku banjir pada masa yang sama.

“Jadi kita mengarahkan pihak Rela untuk bersama membantu namun masih tidak cukup… saya turut minta bantuan daripada anggota tentera dan beberapa agensi lain sekiranya banjir berlaku ketika PRU15, maklum sahajalah bila banjir berlaku, Ketua Polis Daerah adalah pengarah kawasan dan pada masa sama, mereka terpaksa menjaga keselamatan ketika pilihan raya,” katanya kepada pemberita di Tasek Gelugor malam ini.

Beliau berkata demikian selepas bertemu orang ramai di Pusat Daerah Mengundi Taman Senangan di Teluk Air Tawar bersama calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu bagi Parlimen Tasek Gelugor iaitu Wan Saiful Wan Jan.

Hamzah yang merupakan calon Bersatu di Parlimen Larut diminta mengulas persediaan kerajaan jika berlaku bencana itu ketika PRU15 berikutan beberapa kawasan sudahpun mengalami banjir ketika ini.

Setiausaha Agung PN itu juga berkata beliau meminta polis agar sentiasa bersiap siaga jika berlaku banjir ketika PRU15 untuk menjaga keselamatan rakyat. – Bernama, 8 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen