MALAYSIA mencatatkan 2,521 kes baharu Covid-19 berbanding 4,695 kes pulih semalam, menjadikan jumlah kes aktif di negara ini menurun kepada 34,534.
Ini adalah kali pertama dalam tempoh 12 hari jumlah pesakit yang pulih melebihi kes baharu.
Jangkitan baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 4,929,972.
Lapan kematian berkaitan koronavirus turut dilaporkan semalam, menjadikan jumlah kematian kepada 36,495.
Perak dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan dua kematian, manakala Johor, Kedah, Sabah dan Selangor masing-masing satu.
Daripada kes baharu, Selangor dan Kuala Lumpur terus mencatatkan jumlah jangkitan harian terbanyak dengan masing-masing 879 dan 461 kes.
Negeri dan wilayah lain yang melaporkan kes baharu ialah Negeri Sembilan (179), Sabah (178), Pulau Pinang (132), Kelantan (131), Kedah (118), Melaka (100), Perak (88), Pahang (77), Johor (69), Terengganu (57), Sarawak (43), Perlis (5) dan Putrajaya (4).
Labuan adalah satu-satunya wilayah yang tidak mencatatkan sebarang jangkitan baharu.
Antara kes aktif, sebanyak 32,766 orang menjalani kuarantin di rumah (94.9%) dan 1,695 di hospital (5.1%).
Terdapat 73 pesakit dalam unit rawatan rapi dengan 47 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan. – 8 November, 2022.

Komen