JANJI Perikatan Nasional (PN) untuk mengisytiharkan cuti umum jika memenangi pilihan raya umum adalah satu penghinaan kepada pengundi, kata seorang penganalisis.
Dr Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya dilaporkan dalam New Straits Times berkata keseluruhan manifesto pilihan raya pakatan itu sendiri adalah “janji lama yang dangkal dan dijenamakan semula”.
“Apa yang lebih mengecewakan ialah janji mengisytiharkan cuti umum sekiranya menang PRU15.
“Ini sama seperti memperlekehkan pengundi, memikirkan mereka boleh terpikat untuk menyokong PN (dengan janji sedemikian) apabila orang ramai boleh sahaja mengambil cuti sehari,” katanya dipetik sebagai berkata dalam temu bual dengan akhbar itu.
Tawfik berkata manifesto itu juga tidak meliputi sebarang pelan pemulihan ekonomi yang sewajarnya.
“Segala janjinya adalah tawaran lama yang dijenamakan semula untuk menarik pengundi. Ia dangkal.
“Janji untuk mempertimbangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan diskaun 25% untuk peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi yang lulus dengan ijazah kelas dua adalah berita lama,” katanya.
Ahli akademik itu berkata PN sepatutnya memberi tumpuan menawarkan penyelesaian kepada pergelutan rakyat daripada membuat “janji politik” tanpa strategi yang jelas dan mendalam.
“Kos sara hidup semakin meningkat dan rakyat hampir tidak dapat bertahan. Ini harus menjadi tumpuan kerana nyawa rakyat jauh lebih penting daripada cita-cita politik mana-mana parti.
“Saya tidak nampak bagaimana mana-mana inisiatif yang diumumkan pada Ahad boleh mengurangkan kesan ekonomi tahun depan.
“Jika kita mahu memastikan kestabilan, kita mesti realistik dalam janji kita, yang bermakna segala yang dijanjikan kepada rakyat, perlu mengambil kira keupayaan ekonomi untuk bertahan dalam kemelesetan pada 2023.
“Hutang kita melebihi RM1 trilion. Ini bukan masanya untuk menjanjikan bulan dan bintang kerana berbuat demikian akan memburukkan lagi keadaan rakyat dan kerajaan untuk menguruskan ekonomi.” – 8 November, 2022.
Berita penuh di sini
Komen